28 April 2013

Badan digilis lori lebih 10 tan

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Badan digilis lori lebih 10 tan

Anak sulung Chong Yow Sang dan anak bongsu Chong Ah Lek meratapi mayat bapa mereka yang terbabit kemalangan di persimpangan tiga Batang Melaka-Air Kuning Selatan, semalam.
TAMPIN - Dua beradik tidak dapat menahan sebak sebaik melihat mayat bapa mereka yang maut selepas terbabit dalam kemalangan berhampiran persimpangan tiga Batang Melaka-Air Kuning Selatan, di sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 10.45 pagi itu, mangsa, Chong Kou, 73, maut selepas motosikal ditungganginya dirempuh  sebuah lori membawa muatan lebih 10 tan dari arah Pekan Air Kuning, ketika membelok ke sebelah kanan jalan.

Saksi kejadian, M Kumar, 32, berkata,  ketika kejadian dia dalam perjalanan dari Jalor ke Pekan Air Kuning Selatan dan tidak menyangka melihat sendiri detik-detik kemalangan berkenaan.

“Masa itu, mangsa baru sahaja keluar dari simpang dan lori dari arah pekan cuba mengelak ke arah kanan jalan, namun merempuh motosikal mangsa dan mangsa tercampak kira-kira 20 meter dari lokasi sebelum badannya di gilis lori berkenaan.

“Hingga ke saat ini saya masih lagi menggigil dan gementar kerana melihat sendiri apa yang berlaku.  

"Bagaimanapun, jika diikutkan lokasi ini sememangnya sangat berbahaya dan sudah banyak berlaku kemalangan sejak jalan baru ini dibuat,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian, di Air Kuning Selatan, dekat sini, semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintendan Wooi Kooi Cheang mengesahkan kejadian berkenaan dan punca kejadian masih lagi dalam siasa-tan.  Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tampin (HT) untuk proses bedah siasat.

Menurutnya, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss maut di lokasi kejadian susulan mengalami kecederaan parah, sementara pemandu lori berusia 36 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Sehubungan itu, saksi kejadian diminta tampil ke balai polis berdekatan atau menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Mohd Ridhwan Ghazali di talian 06-4411221 atau 06-4411222, " katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: