28 April 2013

Warga emas naik berang libas parang halau pemasang bendera

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

Superintenden Che Mahazan Che Aik

Superintenden Che Mahazan Che Aik
KOTA BHARU - Gara-gara marah bendera parti politik dipasang berhampiran rumahnya, seorang warga emas bertindak melibas parang dalam kejadian di Batu 2, Jalan Kuala Krai di sini, pagi kelmarin.

Jurucakap Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, Superintenden Che Mahazan Che Aik berkata, kejadian tersebut berlaku pada jam 10.30 pagi.

Katanya, ketika itu pengadu bersama seorang lagi rakannya sedang memasang bendera dan kain rentang di kawasan itu sebelum suspek datang memarahi mereka.

“Suspek mengarahkan pengadu mencabut semula poster dan bendera yang dipasang. Pengadu akur dan mencabut semula kesemuanya. Suspek bagaimanapun belum berpuas hati dan mengeluarkan parang serta melibasnya ke arah pengadu.

“Pengadu yang ketakutan bertindak lari untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Menurutnya, suspek kini ditahan reman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

“Kita akan siasat suspek kerana melalukan ugutan jenayah yang boleh mendatangkan kecederaan kepada pengadu.

“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu,” katanya.

Sinar/-

Tiada ulasan: