17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
BUKIT MERTAJAM — Lima sekeluarga mengalami saat cemas apabila rumah mereka di Kampung Mengkuang Titi dipukul ribut sehingga sebahagian bumbung rumah diterbangkan dalam kejadian kelmarin.
Rohaya Abdul Hamid, 49, berkata ketika kejadian pada pukul 5 pagi itu, beliau bersama suami Ismail Ahmad, 49, dan tiga anak sedang tidur dalam bilik berasingan di bahagian atas rumah mereka sebelum hujan dan bunyi angin yang kuat.
“Sebaik terdengar angin kuat, saya terus bangun dan ketika sedang mengejutkan suami dan anak-anak tiba-tiba sebahagian bumbung rumah kami diterbangkan angin dan air hujan memenuhi ruang atas rumah.
“Kami terus lari keluar untuk menyelamatkan diri,” katanya kepada pemberita selepas calon Barisan Nasional (BN) Penanti Ibrahim Ahmad melawat rumahnya di sini hari ini.
Ismail yang bekerja sebagai pemandu lori berkata beliau berterima kasih kepada Ibrahim kerana dalam kesibukan berkempen sempat melawat rumahnya dan menghulur bantuan bagi membaiki rumahnya yang dilanda ribut.
“Bantuan yang disalurkan itu sekurang-kurangnya dapat meringankan beban, lagipun tiga anak saya masih bersekolah dan ada menuntut di universiti,” katanya.
Ismail berkata rumahnya pernah beberapa kali dilanda ribut dan setiap kali berlaku kejadian itu beliau mendapat bantuan daripada kerajaan BN manakala kerajaan negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti tidak pernah datang membantu.
Sementara itu Ibrahim berkata beliau akan meminta bantuan segera daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membaiki kerosakan rumah Ismail.
Katanya kerugian yang dialami Ismail kira-kira RM10,000 kerana bumbung zink dan sebahagian dinding papan rumahnya juga telah rosak akibat dimakan anai-anai.
“Saya akan salurkan bantuan segera supaya bumbung-bumbung rumah Ismail yang rosak dapat dibaiki secepat mungkin,” katanya.
– Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan