17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
MENTAKAB - Persiapan menyambut calon Barisan Nasional (BN) oleh Umno Cawangan Bukit Bendera, di sini, terjejas berikutan replika kereta kebal dan bendera yang dipasang dirosakkan sekumpulan individu tidak bertanggungjawab.
Ketua Umno Cawangan Bukit Bendera, Abdul Hamid Ismail berkata, kejadian tersebut berlaku malam kelmarin selepas anak buahnya menyiapkan hiasan di taman perumahan berkenaan untuk menyambut ketibaan calon BN pada keesokan harinya.
Menurutnya, replika kereta kebal dan bendera yang dipacakkan di laluan masuk utama taman perumahan itu dirosakkan kumpulan terbabit mengakibatkan hasil kerja selama seminggu terjejas.
“Kami kecewa dengan tindakan kumpulan itu yang melakukan provokasi melampau dan bimbang perkara seperti ini akan menjadi serius.
“Kami tidak pernah melakukan provokasi melampau seperti ini terhadap parti lain sebab kami tahu untuk berkempen secara sihat,” katanya.
Abdul Hamid berkata, tindakan pihak terbabit dikhuatiri akan mendatangkan kesan buruk sepanjang kempen pilihan raya kali ini, sekali gus mencemar nama baik cawangan.
“Apa yang sangat mengecewakan kami, persiapan membuat replika kereta kebal sehingga jam 3 pagi semalam musnah dalam tempoh dua ke tiga jam akibat perbuatan kumpulan ini.
“Kami nak sambut calon Dun Lanchang, Datuk Mohd Sharkar Shamsudin dan calon Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah esok, terpaksalah kami hias semula kawasan kami,” katanya yang akan membuat laporan polis berkaitan kejadian tersebut.
Sinar/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan