28 April 2013

Kubu kuat Umno boleh roboh

17 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -

PAS bakal melakar sejarah di Kuala Kangsar berikutan kerja kuat daripada seluruh petugas parti dan ahli serta pertolongan daripada Allah.
KUALA KANGSAR: Parlimen Kuala Kangsar, kubu kuat Umno selama ini, kini menjadi lemah dan kubu itu boleh dirobohkan, menjelangnya Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU13).

Calon PAS Khalil Idham Lim berkata, PAS bakal melakar sejarah di kawasan itu berikutan kerja kuat daripada seluruh petugas parti dan ahli serta pertolongan daripada Allah.
Sambil melahirkan keyakinan untuk memenangi kerusi itu, beliau berkata, insya’Allah PAS boleh bertapak di kawasan itu tambahan pula berlaku pepecahan dalam Umno berikutan tindakan Datuk Kamalia Ibrahim bertanding atas tiket Bebas.
“Namun PAS perlu kepada kekuatan tersendiri untuk menang, bukannya kemenangan itu atas dasar lemahnya Umno-Barisan Nasional, jelas beliau, dipetik dari harakahdaily.
Datuk Kamalia kecewa dengan tindakan Datuk Seri Najib Tun Razak kerana tidak memberi kerusi Parlimen itu untuk bertanding tetapi sebaliknya beliau diberi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Chandan, di Perak.
Beliau yang juga naib ketua wanita Umno menyifatkan tindakan Najib ini sebagai satu penghinaan terhadap kaum wanita kerana usaha dan gerak kerja beliau selama ini dianggap seperti sampah.
Jambatan Manong
Pada PRU kali ini, Khalil Idham mengutarakan lima tawaran kepada para pengundi di Parlimen Kuala Kangsar, pertamanya berhubung pembinaan Jambatan Manong ke Seberang Manong yang sehingga kini sudah tiga kali diadakan majlis pecah tanah, jambatan tidak juga siap.
“Saya berjanji dalam masa setahun, saya akan tahu jawapannya bagi meneruskan pembinaan jambatan tersebut,” katanya.
Kedua, berhubung pengangkutan awam yang digunakan untuk orang ramai dari Kuala Kangsar ke Simpang Tiga yang sekarang ini begitu daif dan uzur akan digantikan dengan yang lebih baik sekiranya Pakatan Rakyat kembali berkuasa di Perak.
“Kita akan usahakan bas yang lebih baru dan selesa kepada rakyat bagi laluan Kuala Kangsar ke Simpang Tiga Beruas,” ujar beliau.
Menurutnya dengan bantuan dari kementerian dan agensi yang berkaitan beliau akan usahakan bas yang lebih selesa kepada masyarakat di kalangan pelajar, ibu tunggal dan berbagai lapisan masyarakat yang menggunakan bas itu.
Sebelum ini beliau pernah mendedahkan bagaimana daifnya bas yang digunakan di kawasan itu dan beliau sendiri telah menaiki bas syarikat tersebut yang disifatkan terlalu uzur dan merbahayakan penumpang terutama pelajar sekolah.
“Bas tersebut sudah berusia 50 tahun dan selayaknya sudah berada di muzium,” katanya.
Beliau turut menyentuh penempatan di dua kampung iaitu Kampung Baru Jerlun dan Kampung Tersusun Senggang yang sehingga kini penghuninya tidak mendapat hak milik kekal.
Dalam manifesto Pakatan Rakyat telah dinyatakan untuk memberikan geran tanah kekal untuk Kampung Tersusun dan Kampung Baru, Kerajaan Pakatan Rakyat akan menunaikan janjinya, kata beliau.
Menurut beliau Kampung Baru Jerlun didiami kaum Cina, manakala di Kampung Tersusun Senggang dihuni oleh orang Melayu.
Status tanah
“Terdapat 112 lot tanah yang didiami oleh orang Melayu di Kampung Tersusun Senggang yang hingga kini tidak apa apa status tanah, bila berlaku kematian, menjadi masalah kepada pewaris kerana tanah itu tidak ada apa apa status tanah.
“Begitu juga terdapatnya penempatan kecil orang Melayu, Cina dan India yang tinggal di rezab sungai dan jalanraya, kita akan menyelesaikan massalah ini nanti bila Pakatan Rakyat berjaya mengambilalih negeri ini,” katanya lagi.
Tawaran keempat yang ditengahkan kepada pengundi di sini ialah beliau mahu menyelesaikan masalah perparitan yang serius di Kampung Bendang Kering.
Pada tahun 2007, jelasnya kerajaan telah membina longkang bagi menyelesaikan masalah perparitan di kampung tersebut, tetapi longkang tersebut tidak cukup besar dan panjang, sekarang ini longkang tersebut ada yang sudah pecah dan runtuh.
“Sistem perparitan di sini akan kita perbetulkaan balik bila Pakatan Rakyat berkuasa nanti,” ujar beliau.
Katanya lagi, tawaran terakhir berhubung industri Labu Sayung yang ada sekarang akan ditingkatkan lagi menjadi lebih baik sejajar dengan perkembangan semasa demi mempertingkatkan industri tersebut, katanya.
Pada PRU12 calon BN, Datuk Seri Rafidah Aziz yang juga bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berjaya mengalahkan calon PAS, Dr Khairudin Datuk Abdul Malik dengan majoriti 1,458 undi.
Kali ini, Khalil Idham akan menghadapi pertandingan tiga penjuru. Selain Datuk Kamalia, beliau berdepan cabaran daripada calon BN, Datuk Wan Mohamad Khairil Anuar Wan Ahmad.
Beliau dilihat mampu menarik para pengundi Cina di kawasan itu memandangkan beliau keturunan Cina dan boleh berinteraksi dengan mereka, ini satu kelebihan kepada beliau.
Jumlah pengundi di kawasan Parlimen Kuala Kangsar ialah 33,607 orang di mana pengundi Melayu berjumlah 67.96 peratus, Cina (23.94%), India (6.96%) dan lain-lain (1.14%).
FMT/-

2 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

kuala kangsar bukanlah kubu kuat umno. jika tiada krisis kamilia pun, analisis menunjukkan parlimen kuala kangsar akan beralih ke tangan pakatan. dengan hanya majoriti bn yg cuma 1000 lebih, pas dijangka mudah menawan kerusi ini atas faktor swing pengundi cina dan faktor pengundi muda yg lebih memihak kepada pr... in sya Allah.

sama2 kita doa untuk perubahan ke arah yg lebih baik buat rakyat kuala kangsar khususnya dan malaysia keseluruhan amnya... aamiin.

Popov berkata...

Syabas itu yang kita nak dengar dari mulut bakal pemimpin. Cerita apa yang anda akan lakukan.