23 Mei 2013

Azizan: Reda kaki dipotong

13 Rejab 1434 H. [MOD] -

AZIZAN
AZIZAN
GEORGETOWN - Hari ini genap 17 hari bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak menjadi penghuni Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Pulau Pinang (HPP).

Beliau kini masih lagi dipantau rapi oleh 10 doktor pakar antaranya kardiologi, ortopedik dan diabetes dan selepas menjalani pembedahan memotong kedua-dua belah kakinya akibat komplikasi penyakit kencing manis dihidapinya pada 9 Mei lalu.

Selepas mendapatkan rawatan yang terbaik di HPP, kini keadaannya semakin stabil dan beliau sudah sedar namun masih berada dalam keadaan yang masih lemah.

Bekas setiausaha akhbarnya, Mohd Helmi Khalid berkata, Azizan kini sedang menjalani rawatan mencuci luka di kakinya.

“Alhamdulillah kesihatannya semakin baik dan beliau dilihat bertambah pulih sejak dua hari lalu dan cuba berkomunikasi dengan ahli keluarga serta rakan rapat yang menziarahinya, namun tidak mampu bercakap dengan baik dan tersekat-sekat.

“Beliau juga sudah mengetahui kedua-dua belah kakinya sudah tiada, dari reaksi yang dapat saya lihat, beliau reda dengan apa yang menimpanya,” katanya.

Menurutnya, sepanjang berada di HPP, kedua-dua isteri Azizan, Datin Seri Faekah Sheikh Hamzah dan Shamsiah Shafie serta 14 anaknya setia menjaga di hospital.

Sepanjang menerima rawatan, Azizan tidak putus-putus menerima kunjungan orang ramai termasuk kepimpinan tertinggi negara.

Antara kenamaan yang hadir menziarahinya ialah Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah; Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir dan Menteri Besar Perlis, Azlan Man.

Bagaimanapun Mohd Helmi berkata, beliau tidak dapat menjangkakan sehingga bila Azizan akan menerima rawatan di HPP.

"Mungkin sehingga keadaannya benar-benar pulih sebelum dibenarkan keluar," katanya.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: