23 Mei 2013

Tiada pemilihan pada kongres PKR ke-9


13 Rejab 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Kongres Nasional KEADILAN kali ke-9 yang akan berlangsung dua hari bermula esok tidak akan melibatkan pemilihan kepimpinan parti PKR, kata setiausaha agungnya, Datuk Saifuddin Nasution Ismail.

Menurutnya, mengikut perlembagaan PKR, tempoh pemegang jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) adalah tiga tahun, dan hanya akan berakhir pada November tahun ini. 


Dengan kondisi itu, PKR katanya mempunyai pilihan sama ada untuk meneruskan pemilihan parti sebelum November ataupun menangguhkannya seperti yang dibenarkan perlembagaan parti itu.



"Buat masa ini parti sedang menimbangkan kedua-dua pilihan ini, sama ada meneruskan seperti jadual asal atau menangguhkan,” katanya semalam.



Saifuddin menjelaskan, pertimbangan itu dibuat kerana jentera parti baharu sahaja berhadapan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) dan perlu membina semula kekuatan parti.



“PRU 13 merupakan satu pertempuran besar yang memakan belanja dan tenaga yang banyak, sebab itu kita perlu menimbangkan sama ada perlu memperkemas semula saf pasukan,” katanya.



“Bagaimanapun, sekiranya pimpinan rasa pertempuran itu tidak memberi kesan kepada parti, maka pemilihan akan diteruskan seperti biasa (hujung tahun ini),” katanya lagi.



Tambah Saifuddin, perkara itu antara cadangan yang sedang dibincangkan pimpinan parti buat masa ini dan hanya akan diputuskan selepas kongres esok.



“Selepas selesai kongres, kita akan memanggil semula semua pimpinan untuk memutuskan perkara berkaitan pemilihan pula,” jelasnya.



“Kita juga sudah bertemu ROS (Jabatan Pendaftar Pertubuhan) berhubung perkara itu, dan menurut mereka jika benar kita perlu tangguh, maka pindaan perlembagaan harus dibuat sebelum pemilihan,” katanya.



Kali terakhir pemilihan parti dijalankan ialah pada 2010.


harakahdaily/-

Tiada ulasan: