23 Mei 2013

Dakwa Umno sebar video lucah: Mustafa dan 2 lagi fail pembelaan

13 Rejab 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR:Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, peguam Asmuni Awi dan Ketua Pengarang Harakahdaily, Zulkifli Sulong  memfailkan pembelaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung saman Umno terhadap mereka ekoran isu penyebaran video lucah menjelang pilihan raya lalu.



Peguam Zulhazmi Sharif hari ini memfailkan pembelaan itu di Mahkamah bagi pihak ketiga-tiga defendan itu.



Zulhazmi yang ditemui di lobi Mahkamah memberitahu pihaknya telah menerima saman dari Umno yang meletakkan Datuk Ab. Rauf Yusoh sebagai plaintif berhubung dengan berita mengaitkan parti itu dengan penyebaran video lucah yang dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS.



Jelasnya lagi, pengurusan kes akan diadakan pada 16 Jun di Mahkamah NCVC 1.



Tetuan Mumtaz Md Nawi & Co mewakili Zulkifli Sulong (Defenden ketiga), manakala Tetuan Awi & Co bertindak sebagai peguamcara bagi Mustafa dan Asmuni (Defendan Pertama dan kedua).



Sebelum itu Umno pada 23 April lepas telah menfailkan saman fitnah terhadap Datuk Mustafa Ali, peguamnya dan HarakahDaily kerana didakwa mengaitkan parti itu dengan penyebaran video lucah yang dikatakan mirip Setiausaha Agung PAS terbabit.



Saman tersebut dikemukakan oleh Setiausaha Kerja Umno, Datuk Ab. Rauf Yusoh selaku pegawai awam Umno melalui firma guaman, Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.



Tuntutan saman itu melibatkan lima artikel yang disiarkan oleh beberapa media termasuk Harakahdaily setelah Mustafa didakwa membuat kenyataan bahawa Umno terlibat dalam penyebaran video itu.



Laporan itu disiarkan pada 12 dan 13 April lalu apabila video lucah seorang lelaki menyerupainya tersebar di laman sesawang sejak 11 April lalu.



Ekoran penyebaran video itu, Mustafa dalam ceramahnya di Dungun mendakwa Umno terbabit dalam penyebaran video itu. Mustafa juga menafikan beliau meletakkan jawatan ekoran tuduhan itu dan menyifatkan ianya satu pembohongan.



Berita itu dibuat oleh Bernama dan disiarkan oleh Malaysiakini. Harakahdaily pula memetik berita itu.


Asmuni pula yang dilantik Mustafa sebagai peguamnya menafikan tuduhan itu dan turut  mendakwa Umno terlibat dalam penyebaran video lucah itu.

Ketua Penerangan Umno, Datuk Ahmad Maslan menafikan dakwaan partinya terlibat dalam penyebaran video lucah itu dan selepas itu menghantar notis saman kepada ketiga-tiganya iaitu Mustafa, Asmuni dan Zulkifli.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: