23 Mei 2013

Sarawak Mesti Lebih Maju Selepas Ramai Wakil Sarawak Jadi Menteri


13 Rejab 1434 H. [MOD] -




Tahniah kepada Ahli Parlimen (AP) dari Sarawak yang telah dilantik
sebagai Menteri dan juga Timbalan Menteri yang kita harap dapat
memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.



Semua wakil parti dari Sarawak mendapat lantikan jadi Menteri dan
Timbalan Menteri kecuali parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP)
tidak mempunyai perwakilan dalam kabinet baru Perdana Menteri Najib
Tun Razak. Kalau boleh jawatan Pemangku Menteri Pengangkutan yang
dipegang oleh Hishammudin diberi kepada AP dari SPDP untuk pelantikan
sepenuhnya.



Kita ingin melihat suatu perubahan yang lebih rancak berlaku di
Sarawak terutama sekali di kawasan luar bandar selepas ramai AP
Sarawak dilantik menjadi Menteri dan Timbalan Menteri dan bukan
sebaliknya. Kita juga ingin melihat Menteri Kerjaraya baru dari
Sarawak dapat membuat sesuatu perubahan yang drastik untuk membina,
membaik pulih keadaan jalanraya di Sarawak terutama yang menghubungkan
kawasan bandar ke luar bandar.



Begitu juga jalanraya Pan Borneo diharap menjadi kenyataan selepas
ini, dimana Kementerian Kerjaraya sebelum ini menjangka jalanraya Pan
Borneo akan siap dalam tahun 2025 tetapi kita mahu Menteri yang baru
dilantik dapat menyiapkan atau ada perubahan dalam tempoh 5 tahun.



AP yang baru dilantik akan bertanggungjawab sepenuhnya untuk
melaksanakan tugas serta amanah yang telah diberikan oleh rakyat agar
ianya benar-benar memberi manfaat kepada rakyat khususnya di Sabah dan
Sarawak.



Kita tidak mahu melihat ramai Menteri dan Timbalan Menteri dari
Sarawak tapi keadaan di Sarawak masih tidak berubah seolah-olah kita
masih berada seperti tahun 60an dan 80an yang lalu. Harapan rakyat
Sarawak untuk menikmati hasil dan juga kemajuan yang lebih baik dari
sebelumnya dan seharusnya semua janji ditepati seperti mana yang
dijanjikan semasa PRU13 yang lalu.



Inilah masanya untuk AP dari Sarawak membuktikan yang mereka
benar-benar boleh memberi manfaat dan pandai mengurus hal ehwal serta
kebajikan rakyat yang memerlukan di seluruh negara. Jangan cakap saja,
tapi buktikan setelah rakyat memberi amanah.



Kita mahu melihat Sarawak antara negeri yang termaju dan berada dalam
kedudukan yang bebas dari kemiskinan tegar dalam Malaysia dengan
adanya Menteri yang bertanggunjawab, amanah, cekap dan bebas dari
melakukan rasuah.



Kita memberi tempoh 100 hari dari tarikh pelantikan Menteri dan
Timbalan Menteri untuk mereka laksanakan tugas mereka dengan amanah,
jujur dan adil kepada semua golongan masyarakat tanpa mengira bangsa,
agama dan fahaman politik.



Jangan bersikap seperti Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said
yang lebih mementingkan puaknya saja dengan meminggirkan kawasan yang
menyokong Pakatan Rakyat.



Tanggungjawab Menteri dan Timbalan Menteri adalah melaksanakan amanah
rakyat bukannya mengkhianati rakyat. Pendapatan Menteri dan Timbalan
Menteri termasuk Perdana Menteri serta lain-lain AP yang dilantik
adalah hasil dari wang pembayar cukai yang tidak mengira bangsa, agama
dan fahaman politik.



Maka kita mengesa semua mereka yang terpilih menjadi wakil rakyat
WAJIB berlaku adil kepada semua, jangan makan duit HARAM kalau mahu
hidup dalam keberkatan.



Jofri Jaraiee
PAS Sarawak

Tiada ulasan: