1 Rejab 1434 H. [MOD] -
KUALA LUMPUR - Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia (Mubarak) hari ini mencadangkan calon Barisan Nasional (BN) yang kalah pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) tidak dilantik sebagai senator untuk menganggotai Kabinet.
Presidennya Tan Sri Abdul Aziz Rahman berkata, budaya 'pilihan kedua' itu bukan satu idea yang baik untuk diamalkan, malah ia juga tidak baik bagi masa depan negara.
"Bagilah mereka yang kalah ini peluang untuk berehat dan carilah yang berpengalaman untuk menganggotai Kabinet," katanya dalam sidang media selepas Persidangan Meja Bulat Mengenai Politik dan kerajaan Pasca PRU13 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.
Persidangan tertutup selama empat jam itu menyaksikan pembentangan analisis PRU13 oleh bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Ruslan Kasim dan Pengarah Urusan Syarikat Perumahan Negara Berhad Datuk Kamarul Rashdan Mohd Salleh.
Turut hadir Setiausaha Mubarak Datuk Abdul Rahman Sulaiman.
Menjelas lanjut mengenai perkara itu Abdul Aziz berkata,Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh mempertimbangkan individu yang tidak bertanding pada PRU13 untuk menganggotai Kabinet jika mereka mempunyai kebolehan.
Beliau berkata walaupun tidak bertanding atau bergelar wakil rakyat, namun kemahiran, pengalaman dan kepakaran yang dimiliki oleh golongan profesional boleh membantu dalam membangunkan negara.
"Boleh lantik profesional sama ada dalam parti atau luar parti. Sekarang dah ramai layak jadi pemimpin, malah mempunyai banyak pendedahan selain taraf pendidikan yang tinggi," katanya.
Menyentuh tentang perwakilan kaum Cina dalam Kabinet Abdul Aziz berkata: "Carilah wakil Cina yang berpengalaman, ada idea bagus dan tidak ekstrim".
Mengulas mengenai dakwaan wujudnya polarisasi kaum di negara ini susulan keputusan PRU13 yang menyaksikan BN kurang mendapat sokongan daripada pengundi Cina dan di bandar, Abdul Aziz mencadangkan supaya satu kajian dibuat ke atas ucapan pemimpin pembangkang.
Beliau berkata ia penting untuk mengetahui sama ada benar pembangkang telah menanam kebencian pengundi kepada BN serta membangkitkan isu perkauman.
"Walaupun Lim Kit Siang (Penasihat DAP) kata bukan rasis...tapi ini perlu dikaji supaya kita tahu kenapa sokongan kepada BN di bandar dan masyarakat Cina merosot," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan Abdul Aziz berkata, BN perlu memantapkan peranan dan penggunaan media sosialnya bagi memikat hati pengundi muda sebagaimana yang diguna oleh pembangkang.
"Bila media arus perdana tak laporkan sesuatu bahan berita, orang muda ini ada alternatif lain... mereka pergi ke media sosial yang merupakan medan perang persepsi sekarang," katanya.
- Bernama
2 ulasan:
Satu ingatan atau cadangan yang sangat tepat sekali.Lebih baik calon yang menang pilihanraya kerana mereka bakal bertandingan jika prestasi baik dengan rakyat.
Siasat juga calon BN yang megeluarkan ucapan yang berunsur resis, yang menyebabkan pengundi cina memangkah PR. Media arus perdana mesti tidak spin apabila menyampaikan berita. Anak muda kini berpelajaran tinggi,dan faham kepimpinan yang korup tidak akan memajukan Malaysia, apatah lagi hutang negara berlipat ganda sejak Najib jadi PM dan banyak lagi isu2 lain yang tidak dijelaskan secara rasional dan jujur oleh rejim. Yang wajibnya, mana2 kepimpinan UMNO yang korup mesti dinyahkan, masih ramai ahli2 yang juta2 tu , berpendidikan tinggi/jujur/bermoral untuk memimpin UMNO.Ini dah tahu sikapnya resis/bukan ahli UMNO ,pilih jadi calon juga ......
Catat Ulasan