NONE
"Tarikh luput dakwat kekal adalah dalam tempoh empat bulan dari tarikh ianya dikilangkan. Ianya diimport daripada negara luar," katanya dalam satu jawapan bertulis kepada MP DAP Segambut, Lim Lip Eng.

Shahidan juga berkata tahap ketahanan dakwat berkenaan berbeza mengikut individu.

Ia bergantung kepada usaha yang dilakukan oleh setiap individu untuk menghilangkan dakwat kekal berkenaan, katanya. 


Beliau juga menyatakan bahawa Kementerian Kewangan meluluskan sebanyak RM400 juta bagi kos perbelanjaan pilihan raya yang lalu. 



Lim kemudiannya menjadikan jawapan bertulis itu sebagai satu bahan jenaka apabila menulis di Twitter bahawa dakwat kekal kini "boleh dimakan". 


NONE
Tulisan berkenaan mendapat perhatian pengguna Twitter lain yang turut berjenaka dan bertanya kepadanya sama ada dakwat itu "sedap hingga menjilat jari."



Sementara itu, dalam satu jawapan berasingan, Shahidan berkata kos penggunaan dakwat kekal itu adalah sebanyak RM6.9 juta.

Kos itu meliputi kerja-kerja mereka bentuk botol dakwat khas, berus, kotak botol dan membuat bancuhan khas dakwat memandangkan ia tiada di pasaran, katanya dalam jawapan bertulis kepada MP DAP Seremban, Anthony Loke.

"Kos tambahan lain meliputi kos pengangkutan, pembungkusan serta penyimpanan dakwat kekal adalah sebanyak RM200,000 menjadikan jumlah kos keseluruhan sebanyak RM7,100,000.

"Pada masa ini SPR tidak bercadang memaklumkan maklumat pembekal dakwat kekal kepada umum atas sebab keselamatan," katanya.