11 Julai 2013

Kelebihan Che Long ‘senang kkiro, mudah bbaso’

2 Ramadhan 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,11 Jul 2013
KUALA LUMPUR: Calon PAS, Azlan Yusof(gambar) atau lebih mesra dengan panggilan Che Long merupakan seorang yang sentiasa bersama para pengundi yang merasai secara mendalam pasang surut kehidupan di Kuala Besut.


Kelebihan ini, menurut Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bakal memberi saingan kepada calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abdul, yang lebih banyak berada di luar kawasan Besut berbanding Che Long.

“Kelebihan yang dimiliki oleh calon PAS yang dianggap calon “Senang Kkiro, Mudah Bbaso” bagi penduduk Kuala Besut diharap mampu mencatat sejarah 16:16 yang hangat diperkatakan semenjak Adun Kuala Besut BN, Allahyarham Abdul Rahman meninggal dunia,” uljar beliau dalam satu kenyataan.
Berdasarkan pengamatan beliau, Tuan Ibrahim berkata rata-rata masyarakat di daerah Besut dan seluruh negara mengharap satu rekod sejarah politik tanahair akan tercatat.

“Seandainya PAS memenangi kerusi Kuala Besut, kedudukan kerusi menjadi sama rata 16:16. Ini yang akan menjadi suatu penantian, apakah bentuk kerajaan Terengganu selepas catatan sejarah itu?” soal beliau.

Tuan Ibrahim, yang juga Pesuruhjaya PAS Pahang berkata faktor calon banyak mempengaruhi pengundi di Kuala Besut kali ini.

Keadaan sosioekonomi pengundi yang sebahagiannya terlibat dalam pertanian dan perikanan selain pelancongan, hujahnya, memerlukan wakil rakyat yang sanggup bergelumang susah senang dengan mereka.

“Di sinilah letaknya kelebihan Che Long yang berada dalam kawasan sepanjang masa berbanding calon BN.

"Apapun pilihanraya kali  ini mampu mencatat sejarah penting seandainya pengundi memberi undi kepada PAS. Kedudukan 16:16 adalah akan menjadi sejarah politik negara,” tambah Tuan Ibrahim.

Tiada ulasan: