11 Julai 2013

MPV polis hilang di Kamunting, jumpa di Bkt Mertajam

2 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


Polis mempergiatkan usaha memburu seorang suspek kes curi yang melarikan kereta peronda polis (MPV) dalam kejadian di Perak semalam, susulan penemuan MPV itu di Bukit Minyak di Bukit Mertajam malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) ACP Azman Abd Lah ketika dihubungi mengesahkan penemuan MPV itu yang dilapor dilarikan oleh suspek dalam kejadian di Kampung Dollah, Kamunting, Perak pada pukul 7.40 pagi tadi.

Polis kini menumpukan usaha mengesan suspek di kawasan berdekatan MPV itu yang ditemui pada pukul 9.30 malam tadi, katanya menambah suspek berasal dari Tasek Gelugor dekat Bukit Mertajam.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Taiping ACP Mohd Yusof dilapor berkata dalam kejadian pagi tadi, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam beberapa kecurian di Taiping Perak.

Suspek ditahan hasil maklumat orang ramai, bagaimanapun ketika dia hendak dibawa masuk ke dalam MPV, suspek bertindak menolak seorang daripada dua anggota polis yang bertugas sebelum memandu kereta berkenaan dan melarikan diri.

- Bernama

Tiada ulasan: