Beliau berkata beberapa jalan utama akan ditutup mulai 7 pagi bagi mengelak kesesakan dan memudahkan proses penamaan calon yang akan diadakan di Kompleks Rakan Muda di Besut.
    
Antara jalan yang akan ditutup kepada semua lalulintas itu ialah Jalan Kampung Raja-Tembila dari persimpangan lampu isyarat Kampung Raja, katanya.
    
Sehubungan itu, pengguna jalan raya dari Kuala Terengganu/Tembila yang ingin ke Kuala Besut atau Bachok, Kelantan boleh menggunakan simpangan tiga berhampiran kilang Maduria untuk ke Bukit Keluang dan meneruskan perjalanan menuju ke Pengkalan Nyireh dan Kuala Besut.
    
Bagi pengguna jalan raya yang datang dari Alor Lintang untuk ke Kuala Terengganu boleh menggunakan Jalan Gong Bayor ke Tembila.
    
Jalan terlibat akan dibuka semula kepada lalulintas pada jam 11 pagi selepas proses penamaan calon, katanya.
    
Kamaruddin turut mengingatkan penyokong parti yang bertanding supaya mematuhi larangan yang dikeluarkan semasa perarakan calon ke pusat penamaan calon.
    
Antara syarat yang perlu dipatuhi ialah tidak membawa senjata, kanak-kanak, menggunakan pembesar suara atau alatan bunyian dan membawa sepanduk yang ditulis dengan perkataan yang sensitif dan boleh membangkitkan kemarahan pihak lawan.
    
Pilihan raya kecil DUN Kuala Besut diadakan berikutan kematian penyandangnya Dr A. Rahman Mokhtar dari Barisan Nasional (BN) pada 26 Jun lalu akibat kanser paru-paru.
    
BN menamakan anak tempatan Kuala Besut yang juga seorang bekas jurutera Tengku Zaihan Che Ku Abd Rahman, 37, sebagai calon manakala PAS diwakili seorang ahli perniagaan, Azlan Yusof, 48.

- Bernama