Malaysiakini.
- Azilah Hadri, bekas cif inspektor dengan Unit Tindakan Khas (UTK) yang dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan pembunuhan wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu hari ini, dibebaskan dari Penjara Kajang selepas Mahkamah Rayuan membuat keputusan tersebut.
Ketua Pengarah Penjara Datuk Seri Zulkifli Omar mengesahkan Azilah meninggalkan Penjara Kajang bersama seorang saudaranya pada pukul 11.45 pagi dan mereka pergi solat Jumaat.
Zulkifli memberitahu demikian melalui temubual telefon dengan wartawan yang menunggu di pintu masuk utama ke Penjara Kajang.
Menurut pemberita yang membuat liputan keputusan Mahkamah Rayuan pagi ini, Azilah kembali ke penjara pada jam 11 pagi, untuk menyelesaikan proses dokumentasi sebelum dibebaskan.
Kira-kira 20 wartawan, jurugambar dan juruvideo menunggu di luar penjara, tetapi gagal menemubual Azilah.
Manakala Peguam Hazman Ahmad pula berkata Azilah tidak berhasrat untuk bercakap dengan media.
"Dia mahu bersama keluarga terlebih dahulu," kata Hazman yang mewakili Azilah.
Menurut seorang wartawan yang tiba awal di luar Penjara Kajang, saudara perempuan Azilah kelihatan di situ, meletakkan keretanya di situ dan berjalan ke dalam kawasan penjara, tetapi tidak diketahui bila dia beredar dari situ.
Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Koperal Sirul Azhar pula dibebaskan dari Penjara Tapah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan