24 Ogos 2013

Fauzi Ghadzali meninggal, hilangnya seorang pejuang

17 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily/-





IPOH: Dewan Pemuda PAS Perak merakam takziah kepada keluarga bekas tekong pasukan kebangsaan Sukan Asia Busan 2002, Mohd Fauzi Ghadzali yang menghembuskan nafas yang terakhir jam 5.40 pagi tadi.

Timbalan Ketuanya, Dr Raja Ahmad Iskandar Al-Hiss berkata, beliau meninggal dunia selepas selepas berbulan-bulan menanggung derita akibat mengalami kanser liforma.

Beliau berkata, Fauzi pernah menghangatkan negara khususnya arena sukan apabila kemenangan pasukannya dalam Kejohanan Sepak Takraw Kebangsaan Liga Siri Super Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) 2011 ditarik balik kerana Allahyarham memakai pakaian menutup aurat.

Menurutnya, Allahyarham yang mewakili pasukan Negeri Perak ketika itu memakai seluar panjang 'sut trek' dalam pertandingan tersebut. 

Jelas Raja Iskandar, akibatnya daripada 'kedegilannya' demi mempertahankan prinsip Islam, pengadil perlawanan telah membatalkan kemenangan Pasukan Perak dan Fauzi dikenakan kad merah serta dibuang daripada kejohanan. 

"Pemuda PAS menyifatkan kehilangan Fauzi Ghadzali adalah sangat besar buat negara khususnya dalam arena sukan.

"Keberanian beliau mempertahankan prinsip Islam sangat dipuji dan harus diiktiraf sebagai pejuang," katanya kepada Harakahdaily hari ini.

Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia itu menjelaskan, Pemuda PAS Perakn telah menobatkan Fauzi sebagai Ikon Anak Muda dalam Muktamar Tahunan Dewan Pemuda PAS Perak tahun lalu.

Ini katanya berdasarkan keberaniannya sebagai seorang pemain sukan muslim mempertahankan serta berkata benar dalam mengangkat martabat Islam dan ianya harus dicontohi oleh generasi muda negara kini.

Fauzi katanya teruja ketika dimaklumkan bahawa beliau terpilih menjadi seorang ikon dan sangat terharu dengan keprihatinan Pemuda PAS Perak dalam mengambil perhatian tentang kisahnya.

"Kami berharap jasanya akan diiktiraf dan menjadi tauladan kepada masyarakat di Malaysia khususnya kepada semua atlet

"Marilah bersama-sama sedekahkan Al-Fatihah buatnya agar ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman," jelasnya.

Jelasnya, bagi yang ingin menyalurkan sumbangan kepada keluarganya, bolehlah disalurkan melalui akaun Maybank 157091034688 atas nama Mohd Fauzi Ghadzali.

Tiada ulasan: