14 August 2013

Kebakaran musnahkan rumah panjang 40 pintu dekat Sibu

7 Syawal 1434 H. [MOD] -

SIBU: Kebakaran yang berlaku tengah hari ini memusnahkan sebuah rumah panjang 40 pintu, Rh.Das anak Jerman, di Stapang kira-kira 48 kilometer dari sini.
Menurut seorang pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Sungai Merah, Mutton Gelanggang, 18 anggota dari Balai Bomba Sungai Merah dan Balai Bomba Jalan Central berserta dua jentera bergegas ke lokasi selepas menerima panggilan pada 1.44 tengah hari tadi.

Beliau berkata kumpulan pertama dari balai Sungai Merah tiba di tempat kejadian pada jam 2.25 petang dan dengan disertai kumpulan kedua, mereka berjaya mengawal api daripada merebak kira-kira jam 4.15 petang, bagaimanapun rumah panjang yang dibina daripada papan itu musnah sama sekali.
Katanya kebakaran dipercayai bermula dari dapur sebuah daripada unit keluarga. Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
Ini kali kedua rumah panjang di sini musnah akibat kebakaran bulan ini.
Pada 1 Ogos, 10 keluarga hilang tempat tinggal dalam kebakaran di rumah panjang Rh Franky Bawok di Rantau Panjang kira-kira 22 kilometer dari sini. - BERNAMA

No comments: