DIKEHENDAKI...Osuji Kelly Prince, 25 dari Nigeria merupakan suspek yang melarikan diri dari lokap Balai Polis Jinjang, Kuala Lumpur pada Isnin lalu.-fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Seorang anggota polis berpangkat Koperal digantung kerja dan disiasat kerana disyaki menerima sogokan wang bagi membebaskan seorang tahanan warga Nigeria dari lokap Balai Polis Jinjang, di sini Isnin lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur Datuk Ku Chin Wah berkata anggota polis berusia 52 tahun itu ditahan di kediamannya di Jinjang bagi membantu siasatan polis kerana dipercayai dengan sengaja membebaskan suspek berkenaan.
"Polis menahan reman suspek selama tiga hari bermula Selasa, dan polis sedang mengumpul bukti bagi mendakwa anggota polis itu di mahkamah, kemungkinan esok," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur (IPKKL), Rabu.
Beliau berkata berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan lokap, semasa hari kejadian anggota polis berkenaan bertugas seorang diri dan disyaki telah membawa suspek keluar dari kawasan lokap.
Ku berkata pihaknya tidak menolak kemungkinan anggota polis berkenaan menerima wang sogokan daripada suspek.
Sehubungan itu polis turut melancarkan gerakan memburu warga asing, Osuji Kelly Prince, berumur 25 tahun yang ditahan pada 2 Ogos lepas bersabit kes dadah.
Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengenali suspek boleh menghubungi pegawai penyiasat Insp Hamsan Hadi (012-2771619) atau ASP Mohd Akmal Abdullah (012-5829300) atau Pusat Kawalan IPKKL 03-21460585. - BERNAMA
1 ulasan:
Gaji polis jauh lebih baik drp gaji staf penjara...masih lagi tak cukup2. Di negara China penerima rasuah yag didapati bersalah hukumannya tembak smpai mati.Polis Malaysia terkecuali
Catat Ulasan