15 Ogos 2013

Mayat lelaki ditemui dalam parit


8 Syawal 1434 H. [MOD] -



Mayat seorang lelaki lengkap berpakaian ditemui dalam sebuah parit bersebelahan flet Sri San Peng di ibunegara malam tadi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Supt Nor Azman Muhammad Yusuf berkata tiada sebarang pengenalan diri ditemui pada mayat itu, yang telah reput di bahagian kepala.    
    
"Bagaimanapun, pemeriksaan pada bahagian anggota badan mangsa tidak menemui kesan hentakan atau tikaman," katanya ketika dihubungi Bernama.
    
Beliau berkata mayat itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan kes diklasifikasi sebagai mati mengejut.  

Sementara itu, dalam satu lagi kes, seorang pekerja syarikat pembinaan maut ditikam dalam pergaduhan dengan rakan serumahnya di rumah sewa mereka di kawasan perindustrian Taman Puchong Utama semalam.
    
Maurice Agang Yahya, 22, yang berasal dari Rumah Tiajar Baram, Sarawak mati di tempat kejadian setelah ditikam bertubi-tubi.
    
Timbalan Ketua Polis Daerah Subang Jaya Supt Tan Ah Chua berkata dalam kejadian pada jam 11.35 malam itu, mangsa dilapor minum minuman keras bersama empat rakannya di rumah sewa itu.
    
"Situasi bertukar tegang ekoran salah faham dan kerana bengang, suspek berusia 26 tahun yang juga rakan senegeri mangsa, mengejar mangsa yang ketika itu cuba untuk masuk ke dalam sebuah kereta.
    
"Terdapat empat kesan luka tikaman iaitu di dada kiri dan belakang badan sebelah kiri mangsa," katanya ketika dihubungi hari ini.
    
Tan berkata polis menemui sebilah pisau berukuran lebih kurang 10 inci yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu.

 - Bernama   

Tiada ulasan: