15 Ogos 2013

Ustaz Azizan makin pulih, dipindah ke HSB

8 Syawal 1434 H. [MOD] -

Jutaan terima kasih kepada Pengarah Hospital Pulau Pinang Dato' Dr. Yasmin, Timbalan-Timbalan Pengarah Hospital terdiri dari Dr Jamaliah, Dr Elizabeth, Tn Hj Idris, staff Jabatan GICU & Anes Ketua Jabatan Dato' Dr Jahizah, Dr Lim Cho Har, Ketua Jururawat Pn Kelilijah, Penyelia Jururawat Pn. Khatijah, seluruh staff nurse GICU & Anes, seluruh staff CCU Ketua Jabatan Kardiologi Dato' Dr Omar, Dr. Ali, Ketua Jabatan Kardiotrasik Dato' Dr Hamzah, seluruh staff OT. [Muzaini Azizan]

KUALA LUMPUR: Kesihatan bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak semakin pulih dan baik hingga membolehkan beliau dipindahkan dari Hospital Pulau Pinang (HPP) ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar pagi tadi.


Bekas Setiausaha Akhbarnya, Helmi Mohd Khalid berkata Adun Sungai Limau itu juga semakin ceria dan banyak bercakap, biarpun suaranya masih belum jelas kedengaran.



"Kesihatan Ustaz semakin baik, kelihatan sihat sangat-sangat. Itu antara sebab beliau boleh dipindahkan ke HSB, berbanding sebelum ini kerana kekurangan pakar dan peralatan perubatan di Alor Setar," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, petang ini.



Biarpun Ustaz Azizan masih ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) HSB, Helmi berkata ia bertujuan memudahkan para doktor melakukan pemantauan. lebih-lebih lagi ia merupakan hari pertama di HSB.



Bagaimanapun, tambah Helmi pihak hospital masih menutup ruang untuk rakyat awam melawat Ustaaz Azizan, sebaliknya hanya membenarkannya kepada keluarga terdekat.



Dalam masa sama, Helmi turut menafikan gambar yang tersebar di internet itu merupakan gambar Ustaz Azizan yang terkini.



Gambar tersebut dikesan sejak tiga hari lepas yang dimuatnaik di internet, di mana kelihatan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menziarahi seorang pesakit.



Menurut Helmi, difahamkan Ketua Pembangkang itu menziarahi seorang pimpinan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), bagaimanapun terdapat sesetengah pihak yang mengatakan gambar tersebut merupakan gambar terkini Azizan.



"Kalau lihat kepada fizikal Ustaz, sama sahaja macam dia sihat dahulu. Tiada perubahan. Memang itu bukan gambar dia," tegas beliau lagi.



Ustaz Azizan, 69, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas Kedah dimasukkan ke HPP selepas dikatakan mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.



Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: