15 August 2013

Lori sampah rempuh warung

8 Syawal 1434 H. [MOD] -

  • Lori sampah rempuh warungKeadaan lori sampah yang mengundur dan merempuh warung terbabit, semalam.

JEMPOL - Sebuah warung makanan dirempuh sebuah lori sampah yang secara tiba-tiba mengundur menyebabkan seorang pembantu tukang masak yang sedang bekerja di dapur warung terbabit cedera akibat terkena minyak panas yang tertumpah.

Kejadian berlaku kira-kira 8.30 pagi semalam di warung yang terletak di pekan Bahau, dekat sini, apabila lori yang diletakkan berhampiran, secara tiba-tiba mengundur lalu merempuh warung terbabit.

Ketika kejadian terdapat tidak kurang 10 pelanggan serta tujuh pekerja warung berada di kawasan itu, manakala lori berkenaan terletak kira-kira 10 meter dari warung dan berhampiran Balai Bomba dan Penyelamat Bahau.

Abang kepada pemilik kedai makan, Mohd Derham Khamis, 60, berkata, ketika kejadian, dia sedang sibuk melayan pelanggan, sementara pemandu lori berkenaan sedang menikmati sarapan pagi di warungnya.

Menurutnya, dia dikejutkan dengan jeritan orang ramai apabila lori berkenaan mengundur, lalu merempuh pengadang jalan, selain sebuah motosikal jenis Yamaha LC milik pelanggannya, sebelum merempuh warung terbabit.

“Akibat rempuhan itu, pembantu tukang masak kami sedang memasak di dapur terkena minyak panas yang tertumpah," katanya.

Mohd Derham berkata, mangsa iaitu pekerja lelaki berumur 20-an dikejarkan ke Klinik Kesihatan Bahau bagi mendapatkan rawatan susulan, bagaimanapun dilaporkan stabil.

Menurutnya, adiknya iaitu pemilik warung, Noriati Khamis, 56, kemudian membuat laporan berhubung kejadian itu di Ibu Pejabat Polis daerah Jempol (IPD) semalam.

“Sepanjang hampir empat tahun kami usahakan warung ini, ini kejadian kedua berlaku. Bagaimanapun, kali ini lebih teruk," katanya.

Sementara itu, saksi kejadian, Rosidah Abd.Rahim, 33, berkata, dia sempat melihat lori berkenaan secara tiba-tiba mengundur menyebabkan dia panik seketika.

“Saya jerit sekuat hati supaya mereka yang berada dalam warung selamatkan diri. Saya terus ke warung itu untuk melihat apa berlaku. Bagaimanapun saya lega kerana kemalangan itu tidak melibatkan sebarang kemalangan jiwa,” katanya yang bekerja sebagai pembantu di kedai fotostat bersebelahan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hamzah Alias berkata, selain pemilik kedai, pemandu lori berkenaan sudah pun membuat laporan dan pihaknya sedang menyiasat kejadian berkenaan.


Sinar/-

No comments: