15 Ogos 2013

Mesyuarat agung dewan-dewan kawasan lancar


8 Syawal 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS dan Dewan Muslimat PAS kawasan-kawasan dalam fasa ini sedang mengadakan mesyuarat agung dewan masing-masing sebagai persediaan Muktamar Tahunan PAS Kali ke-59.


Menurut Penolong Setiausaha Panitia Muktamar Tahunan PAS, Khairul Anuar, sejurus dewan-dewan di peringkat kawasan selesai bermesyuarat, PAS kawasan pula akan mengadakan mesyuarat mereka.




"Kita telah menetapkan bulan September untuk kawasan-kawasan bermesyuarat. Jadi, ketika ini dewan-dewan di peringkat kawasan yang sedang bermesyuarat," kata beliau kepada Harakahdaily, hari ini.



Setakat ini, tambah beliau, pihaknya mendapati semua mesyuarat berjalan lancar tanpa sebarang masalah.



Sebelum ini, bagi peringkat PAS cawangan, tarikh yang ditetapkan bagi mengadakan mesyuarat agung tahunan adalah bermula 25 Mei sehingga 15 Julai lalu.



Manakala, bagi peringkat PAS kawasan, tarikh yang ditetapkan adalah 12 Ogos hingga 30 September.



Bagi Dewan Pemuda, Muslimat dan Ulamak peringkat negeri pula, tarikh yang ditetapkan adalah bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober manakala dewan-dewan peringkat pusat akan berlangsung pada 20 hingga 21 November.



Muktamar Tahunan PAS tahun ini akan diadakan pada 22 hingga 24 November depan, dengan negeri yang dipilih menjadi tuan rumah adalah Selangor.



Muktamar tahun ini juga akan berlakunya proses pemilihan kepimpinan yang baru bagi setiap peringkat untuk sesi dua tahun berikutnya iaitu 2013-2015.

Tiada ulasan: