15 August 2013

Keputusan petisyen pilihan raya Parlimen Sarikei pada 5 September


8 Syawal 1434 H. [MOD] -

SIBU: Mahkamah Pilihan Raya di sini hari ini menetapkan 5 Sept ini untuk membuat keputusan mengenai petisyen pilihan raya bagi kawasan Parlimen Sarikei. 


Hakim Pilihan Raya Chew Soo Ho semasa membuat keputusan itu berkata ini untuk memberi masa kepada peguam David Kuok yang mewakili pempetisyen untuk menjawab hujahan yang dikemukakan peguam Chong Siew Chang yang mewakili responden dan juga untuk meneliti beberapa perkara yang tidak dibangkitkan dalam petisyen itu. 


Petisyen itu difailkan calon Barisan Nasional Ding Kuong Hiing yang tewas kepada Wong Ling Biu dari DAP pada pilihan raya umum ke-13 pada 5 Mei lalu. 



Wong menang dengan majoriti 505 undi apabila memperoleh 14,263 undi berbanding Ding dengan 13,758 undi. 



Ding memfailkan petisyen itu mengikut Seksyen 10(a),(c),(d),(e) dan (f), Seksyen 11(1)(b), Seksyen 32(a), 34(c),35(a) dan (b) dan Seksyen 36 Akta Kesalahan-keslahan Pilihan Raya 1954 untuk membatalkan keputusan itu. 



Dalam petisyen itu, Ding menamakan Pegawai Pilihan Raya Alex Liau, Suruhanjaya Pilihan Raya dan Wong, masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga. - BERNAMA 

No comments: