15 Ogos 2013

MESIR: PAS desak Najib panggil sidang khas Parlimen

8 Syawal 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily.
(Penyokong Morsi yang didakwa mati dibakar di Nahdhah)


KUALA LUMPUR: PAS mendesak Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak agar segera memanggil sidang khas Parlimen bagi membincangkan keganasan terbaru di Mesir.

Ketua Whip Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar, berkata pada persidangan khas itu, kerajaan juga digesa membawa usul bagi membantah tindakan pemerintah sementara Mesir di bawah kuasa tentera yang telah membantai rakyat sendiri awal pagi ini.

"Datuk (Seri) Najib selaku ketua parlimen perlu bertindak segera. Kepimpinan Malaysia perlu dilihat berani menyatakan pendirian. Biar kita dapat keputusan atas nama parlimen.

"Saya yakin, kita di Pakatan Rakyat akan bersetuju dengan usul yang dibawa bagi membantah tindakan tersebut. 

"Parlimen pernah menyaksikan sejarah kita (Pakatan Rakyat) dan kerajaan bersama dalam beberapa isu termasuk isu Palestin sebelum ini," katanya kepada Harakahdaily.

Dalam operasi bermula awal pagi tadi waktu tempatan, pihak tentera Mesir menggempur Medan Raba'ah yang menjadi pusat perkampungan himpunan penyokong legitimati dan penyokong Presiden Dr Muhammad Morsi.

Serangan yang didakwa menggunakan kereta perisai, jentolak, penembak tepat , gas pemedih mata dan peluru hidup itu memakan korban ratusan orang dan ribuan lagi cedera di medan itu.

Beberapa agensi berita termasuk RNN turut melaporkan bahawa pasukan penembak tepat juga mengambil tempat dari atas helikopter dan tentera turut menggunakan gas beracun.

Sehingga kini, angka rasmi kematian tidak dapat disahkan, namun beberapa sumber memaklumkan ianya mungkin mencecah 500 orang setakat ini.

Mengulas lanjut, Mahfuz yang juga ahli Parlimen Pokok Sena berkata, melalui sidang kahs itu nanti, Pakatan Rakyat akan mengemukakan cadangan kepada kerajaan berhubung langkah yang wajar diambil selaku negara anggota PBB dan OIC.

"Kita juga desak kerajaan Malaysia memanggil duta Mesir untuk memberi nota bantahan dan amaran berhubung tindakan kejam kerajaan sementara tersebut," katanya.

Tiada ulasan: