15 Ogos 2013

“REAKSI KERAS TERHADAP KONFLIK TERKINI DI MESIR"

8 Syawal 1434 H. [MOD] -
KENYATAAN MEDIA PRESIDEN PAS

Parti Islam SeMalaysia (PAS) dan seluruh rakyat Malaysia yang cintakan keamanan mengutuk sekeras-kerasnya tindakan rejim tentera di Mesir yang bertindak kejam dan melakukan jenayah terhadap rakyatnya sendiri sehingga menyebabkan ratusan terkorban dan ribuan cedera parah.

PAS menyeru kepada komuniti antarabangsa termasuklah Kerajaan Malaysia supaya melaksanakan langkah drastik terhadap rejim tentera pimpinan Jeneral Abdul Fatah As-Sisi yang merampas kuasa dari rakyat Mesir itu. Pertama, semua pihak terutamanya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN), OIC, Liga Arab mestilah mengecam tindakan kekerasan rejim tentera yang tidak sah itu dan seterusnya memberikan tekanan diplomatik terhadap mereka yang melaksanakan coup d'état terhadap kerajaan yang dipilih secara demokrasi pimpinan Presiden Muhammad Morsi.

Kedua, pihak yang melakukan jenayah dan bertindak kejam terhadap penyokong Presiden Morsi mestilah disiasat oleh satu Suruhanjaya Bebas Antarabangsa supaya tindakan mengikut tatacara undang-undang dapat dilakukan. Ketiga, kuasa yang diberikan oleh rakyat kepada Presiden Morsi mestilah dikembalikan, manakala penyelesaian kepada krisis di Mesir perlu mengikut lunas demokrasi tanpa campurtangan asing dan pihak tentera.

PAS sekali lagi ingin mengingatkan komuniti antarabangsa bahawa kegagalan menyelesaikan konflik di Mesir ini akan membawa akibat yang lebih buruk terhadap keamanan rantau Asia Barat kerana ianya akan melahirkan aktiviti tindakbalas yang lebih keras, di mana iklim politik, ekonomi dan keamanan dunia juga akan turut terjejas.

Sehubungan dengan itu, PAS menyeru supaya semua penyokong dan ahli PAS, dan rakyat Malaysia yang cintakan keamanan ini supaya menunjukkan solidariti dengan turut sama menyertai Himpunan Munajat Perdana 100k anjuran Dewan Pemuda PAS Pusat, Lajnah Antarabangsa PAS Pusat, bersama dengan parti-parti politik dan NGO dalam negara kita pada hari Sabtu 17 Ogos ini. Marilah kita terus bermunajat memohon kepada Allah SWT supaya kezaliman dihancurkan dan keamanan dikembalikan dalam konflik di Mesir ini.

Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang
Presiden PAS

Tiada ulasan: