15 August 2013

Indonesia haramkan import susu formula bayi melalui Batam

8 Syawal 1434 H. [MOD] -

JAKARTA 15 Ogos - Indonesia mengharamkan pengimportansusu formula bayi menerusi Pelabuhan Batam, sebagai langkah pencegahan susulan skandal pencemaran susu syarikat produk tenusu terbesar New Zealand, Fonterra.

"Kami dengar wakil Fonterra di sesetengah negara termasuk Malaysia dan China, menggunakan 'whey protein concentrate' (WPC) yang tercemar dalam produk tenusu mereka.

"Kami akan siasat sama ada produk terbabit telah memasuki pasaran negara ini atau tidak," kata Timbalan Ketua bagi keselamatan makanan dan kawalan bahan berbahaya Badan Pengawas Obat dan Makanan (BPOM), Roy A. Sparring, seperti dilapor akhbar berbahasa Inggeris, The Jakarta Post pada Khamis.

Roy berkata demikian kepada akhbar itu selepas pertemuan dengan wakil Fonterra New Zealand, di pejabatnya pada Rabu.

Media melaporkan kerajaan Malaysia dan China sudah menarik balik formula bayi yang disyaki mengandungi bakteria clostridium botulinum selepas Fonterra New Zealand mengumumkan mengeksport bahan itu ke lapan negara awal bulan ini.

Fonterra berkata, Danone Dumex merupakan antara syarikat menggunakan WPC dan syarikat berkenaan telah menarik balik produknya daripada pasaran di Malaysia.

Roy berkata, sesetengah produk Danone Dumex Malaysia seperti Dumex Mamex Cherish Step 1 dan Dumex Dupro Step 2 dibawa masuk ke Indonesia secara haram menerusi Batam dan mungkin telah diedar ke seluruh negara.

- BERNAMA

No comments: