KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mengutuk serangan besar-besaran tentera Mesir di bawah Presiden Interim Adly Mansour di negara tersebut.
Kejadian terbaharu pada hari ini apabila pasukan tentera menggempur ribuan demonstran melalui gas pemedih mata serta tembakan peluru hidup mengakibatkan saat ini lebih 200 orang mati syahid manakala lebih 8,000 orang cedera.
Kejadian terbaharu pada hari ini apabila pasukan tentera menggempur ribuan demonstran melalui gas pemedih mata serta tembakan peluru hidup mengakibatkan saat ini lebih 200 orang mati syahid manakala lebih 8,000 orang cedera.
“DPPM menganggap kejadian terbaharu ini sebagai tindakan paling kejam, zalim dan di luar peri kemanusiaan rejim Mesir terhadap rakyatnya sendiri,” ujar Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan.
Ia berlaku di Medan Raba'ah dan di Madinah Nasr di mana pasukan tentera menggempur para demonstran melalui gas pemedih mata dan penembak tepat di atas bangunan.
Katanya, lebih membimbangkan lagi apabila ambulans tidak dibenarkan masuk ke medan Rabiatul Adawiyah yang menyaksikan banyak pertumpahan darah.
“Apakah kerajaan kudeta Mesir mahu menukarkan negaranya sama seperti Syria yang sudah bergolak selama 3 tahun?
“Apakah pemimpin kudeta Jeneral Abdul Fattah As Sisi mahu membunuh ratusan ribu rakyatnya sendiri sama seperti Basyar Al Assad lakukan terhadap rakyat di negaranya?
“Berapa ramai lagi harus mati syahid terbunuh oleh kekejaman kerajaan kudeta Mesir?” ujar beliau.
Katanya, DPPM menegaskan bahawa kezaliman yang dilakukan oleh rejim Mesir pada hari ini tidak akan menyelesaikan konflik berdarah di negara tersebut.
Beliau menegaskan, semakin rakyat dizalimi, semakin ramai bangkit menolak kerajaan kuku besi negara tersebut.
Menurutnya, membunuh rakyat yang tidak bersalah tidak akan mematikan hasrat jutaan rakyat yang menuntut keadilan melalui proses demokrasi yang tulen.
Beliau berkata, hanya meja rundingan serta menyerahkan kembali mandat kuasa negara kepada kerajaan sah yang dipilih oleh rakyat iaitu Dr Mohammad Morsi mampu mengembalikan keamanan dan kestabilan di negara itu.
Selain itu, ujar beliau DPPM mempersoalkan apakah tindakan kerajaan Malaysia dalam menangani konflik terkini di Mesir.
Malaysia, kata Nasrudin sepatutnya mengambil langkah terkehadapan dengan menyatakan bantahan secara lantang terhadap tindakan kerajaan kudeta Mesir.
Tambahnya, DPPM juga menggesa kerajaan Malaysia memutuskan hubungan dengan kerajaan kudeta Mesir sehingga keamanan dan kerajaan yang sah kembali berkuasa.
“Tidak ada gunanya kerajaan mengiktiraf kerajaan haram yang telah membunuh ribuan rakyatnya serta merampas kuasa secara zalim daripada pemimpin yang sah di negara tersebut,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Temerloh.
Justeru, malam ini, katanya sejurus selesai solat Maghrib berjamaah, DPP kawasan-kawasan diarahkan supaya anjur majlis solat dan Munajat Perdana di kawasan masing-masing secara serentak untuk menghantar bantuan doa kepada rakyat Mesir yang sedang dibantai teruk oleh rejim.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan