27 August 2013

Kes Altantuya: Pendakwaan fail notis rayuan Jumaat lalu

20 Syawal 1434 H. [MOD] -

PUTRAJAYA: Pendakwaan telah memfailkan notis rayuan berhubung pembebasan dua anggota Unit Tindakan Khas (UTK) daripada pertuduhan membunuh wanita warga Mongolia Altantuya Shaariibuu, tujuh tahun lepas. 


Timbalan Peguam Cara Negara II Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah mengesahkan pendakwaan memfailkan notis itu di pejabat pendaftar Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas.


Notis itu difail pada hari yang sama mahkamah memutuskan rayuan kedua-dua tertuduh, katanya kepada Bernama. 


Tun Abdul Majid juga berkata pendakwaan akan memfailkan petisyen rayuan dalam tempoh 10 hari selepas menerima rekod rayuan kes itu. 

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Hakim Datuk Seri Mohamed Apandi Ali sebulat suara membebaskan Azilah Hadri dan Sirul Azhar Umar daripada pertuduhan membunuh Altantuya selepas membenarkan rayuan mereka.

Turut menganggotai panel itu ialah Datuk Linton Albert dan Datuk Tengku Maimun Tuan Mat. 

Azilah, 37, dan Sirul Azhar, 42, mengemukakan rayuan berhubung sabitan serta hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi terhadap mereka bagi kesalahan membunuh Altantuya, 28. 
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Mukim Bukit Raja di Shah Alam antara 10 malam pada 19 Oktober dan 1 pagi pada 20 Oktober 2006. 

Bekas penganalisis politik Abdul Razak Baginda, 50, yang didakwa bersubahat dengan mereka, dibebaskan pada 31 Okt 2008 selepas Mahkamah Tinggi mendapati pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. 

Pendakwaan tidak mengemukakan rayuan berhubung keputusan itu.

Dalam penghakiman setebal 47 muka surat, Mahkamah Rayuan memutuskan keterangan mengikut keadaan yang dikemukakan pendakwaan tidak mencukupi bagi mengekalkan sabitan terhadap kedua-dua tertuduh.

Penghakiman itu juga menyebut oleh kerana pendakwaan gagal membuktikan kesalahan Azilah dan Sirul Azhar pada tahap yang memuaskan, mahkamah terpaksa memberi faedah kesangsian kepada mereka. - BERNAMA

No comments: