Harakahdaily, | 27 Ogs 2013 |
KUALA LUMPUR: Mapim dan jaringan organisasinya menganjurkan Persidangan Tergempar Pembunuhan Massa, Demokrasi dan Hak Rakyat Mesir pada 30 Ogos ini di Dewan Seminar Masjid Al Falah, USJ Seksyen 9, Subang Jaya.
Persidangan itu dianjurkan oleh Komiti Bertindak Bebaskan Mesir (REACT Free Egypt) dengan kerjasama, Mapim, Citizens International, Universal Justice Network dan rakan kerjanya termasuk Abim, Shura, PUM, Ilmuan, Salimah, Teras dan Lujnah Antarabangsa Parti Islam Se-Malaysia.
Presiden Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid berkata tema persidangan itu ialah ‘Hentikan Pembunuhan, Pulihkan Demokrasi Mesir’ ekoran tindakan ganas tentera Mesir terhadap kelompok pro Morsi dan anti kudeta yang membunuh dan mencederakan ribuan yang telah mengejutkan dunia.
“Senario ini tidak boleh dibiarkan berterusan tanpa tindakan. Kemungkinan Mesir menjunam kepada perang sivil sangat besar jika keganasan tentera tidak dihentikan,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, objektif persidangan itu ialah untuk mendesak pembunuhan massa, penangkapan penunjuk perasaan aman dihentikan dan semua tahanan dibebaskan.
“Pemimpin Ikhwan hendaklah dibebaskan dan mereka yang bertanggungjawab melakukan jenayah pembunuhan massa dihukum,” ujarnya.
Ia jugam katanya untuk melancarkan kempen antarabangsa di kalangan ahli parlimen dan NGO Asean untuk menuntut tentera berhenti dari meneruskan kezaliman terhadap rakyat Mesir selain membincangkan perkembangan terkini pergolakan Mesir dan merumuskan agenda bertindak untuk mengembalikan hak demokrasi rakyat negara itu.
Persidangan juga, katanya untuk melancarkan kempen peringkat Asean untuk mendesak kerajaan interim Mesir memulihkan demokrasi dan mengembalikan semula kedudukan Morsi sebagai Presiden Mesir.
Menurutnya, 200 peserta di kalangan ahli parlimen Asean, pemimpin politik dan NGO, aktivis sosial, pemikir dan cendikiawan, ahli media dan jurnalis dijangka menyertai persidangan itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan