06 Ogos 2013

MAS mulakan perkhidmatan ke Dubai

28 Ramadhan 1434 H. [MOD] -


SEPANG: Malaysia Airlines (MAS) memulakan penerbangan hariannya ke Dubai, dengan penerbangan pertama berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada jam 11.30 malam tadi. 

Pengarah Komersil MAS Dr Hugh Noel Dunleavy berkata, Dubai ialah hab pelancongan, perdagangan dan logistik, selain reputasinya sebagai gerbang antara Timur dan Barat. 


Beliau berkata, kediaman bagi hanya lebih dua juta penduduk dan lebih 200 masyarakat pelbagai negara, Dubai merupakan antara bandar raya kosmopolitan di dunia. 


"Menerusi pusat membeli-belah bertaraf dunia dan kemudahan santainya, Dubai merupakan destinasi popular untuk perniagaan dan santai," katanya kepada Bernama pada resepsi ringkas pada pelancaran perkhidmatan itu di KLIA malam tadi. 

"Dalam pada kami meluaskan rangkaian, kami mahu menyiapkan diri dengan produk dan perkhidmatan yang lebih baik untuk pelanggan setiap kali mereka terbang dengan kami. 

"Tumpuan kami ialah kepuasan pelanggan sepenuhnya," katanya. 

Sementara itu, MASholidays, sayap perjalanan dan kembara MAS, juga menawarkan dua pakej perjalanan ke Dubai sempena pelancaran perkhidmatan syarikat penerbangan negara itu ke ibu negara Emiriah Arab Bersatu itu. 
Pelanggan boleh memilih dua pakej itu iaitu sama ada pelepasan secara kumpulan atau individu. 

Pakej lima hari dan pakej tiga malam itu masing-masing ditawarkan pada harga RM3,499 dan RM2,840, bagi pelepasan pada tarikh penerbangan sulung. 

Menerusi pakej itu, mereka akan dibawa melawat beberapa mercu tanda yang menjadi ikon di Dubai, termasuk Burj Khalifa yang sangat terkenal. 

Pesawat Boeing 777-200 dengan dua konfigurasi digunakan untuk laluan Kuala Lumpur - Dubai - Kuala Lumpur itu menawarkan kapasiti tempat duduk sebanyak 282 bagi setiap penerbangan atau bersamaan 3,948 tempat duduk seminggu. - BERNAMA 

Tiada ulasan: