30 Oktober 2013

BRIM tak bantu petani, nelayan


25 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,30 Okt 2013
JERAI: Dalam keghairahan kerajaan BN mengagihkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bertujuan membantu rakyat berpendapatan rendah, petani dan nelayan yang ditemui di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Sungai Limau mengakui ia tidak banyak membantu kehidupan mereka.

Jaafar Mat Noh, 83, (Kiri) seorang pesawah di Kampung Jalan  Kuala Sedaka berkata, BR1M yang diterima setahun sekali hanyalah helah BN untuk mendapatkan sokongan rakyat.

"Niat BR1M hanya untuk pancing undi. Malah janji kerajaan BN untuk  beri RM1000 pada kempen pilihan raya umum lalu kini tinggal RM650 sahaja," katanya ketika ditemui di rumahnya.

Beliau juga hairan dengan tindak tanduk pemimpin BN negeri yang banyak mengkritik pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Allahyarham Ustaz Azizan Razak namun kini berdiam diri melihat kepincangan yang berlaku dalam kerajaan negeri pimpinan Datuk Mukhriz Mahathir.

"Masa Ustaz Azizan pegang MB, tebang balak sebatang pun bising. Sekarang senyap sahaja," ujar Jaafar sinis.


Beliau turut kesal kerana janji-janji BN untuk memberikan bantuan selalu tidak ditepati khususnya selepas pilihan raya umum.

Anuar Hashim, 30, (Kanan) dari kampung yang sama turut menyokong pandangan Jaafar.

Menurut bapa kepada seorang anak itu, BR1M tidak banyak membantu hidup beliau sebagai nelayan dan petani.

Beliau yang pernah mengusahakan bengkel motor di hadapan rumahnya kini mengambil upah membawa mesen membajak dan pergi ke laut menangkap ikan.

"Pendapatan saya puratanya RM1000 sebulan. Saya mengambil upah membawa mesen Kubota dengan upah RM10 serelung.

"Pada hari-hari tertentu saya menangkap ikan di laut. Hasil tangkapan dibahagi tiga. Dua bahagian untuk pekerja, satu bahagian untuk tuan punya perahu," jelas beliau.

Bagaimanapun pendapatan beliau sebagai nelayan berkurangan apabila tiba musim tengkujuh.

Bagi menampung pendapatan keluarga, beliau turut mengusahakan perniagaan air nira yang diperoleh daripada 30 batang pohon nira yang ditanam di sekeliling rumahnya.

Tiada ulasan: