30 Oktober 2013

Pemuda PAS serah memo desak Muhyiddin minta maaf

25 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -


ALOR SETAR: Pemuda PAS Kampung Bukit Choras hari ini menghantar memorandum kepada Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin YaSsin mendesak beliau memohon maaf kepada keluarga Allahyarham Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak di atas kenyataan yang telah dibuatnya berkempen di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau pada 26 Oktober lalu.

Ketuanya, Zamri Saidin berkata beliau amat begitu terguris hati dengan kenyataan yang telah dibuat Muhyiddin itu yang telah mengaitkan keputusan kerajaan mengurangkan subsidi gula dalam Bajet 2014 dengan penderitaan Allahyarham Ustaz Azizan, berikutan prosedur pemotongan kedua-dua belah kakinya akibat penyakit diabetes.

"Sesungguhnya ucapan Muhyidin itu telah menyentuh sanubari kami pemuda PAS yang masih bersedih  dan masih pilu dengan kehilangan insan yang  kami sayangi. Air mata kami belum kering mengenangkan Ustaz Azizan dan kerinduan kami kepada Allahyarham masih menyelubungi setiap detik yang kami lalui.

"Kehilangan Allahyarham terlalu besar buat kami. Atas alasan apa sekalipun, dalam suasana pilu yang sedang kami hadapi, kami tidak dapat menerima ucapan dan sandaran dari Muhyiddin itu," katanya.

Tegasnya lagi, kenaikan harga gula itu sebenarnya adalah untuk mengurangkan beban kerajaan, bukannya untuk mengurangkan jumlah pengidap diabetes.

"Hal ini diketahui oleh seluruh rakyat. Muhydidin tidak wajar sama sekali menyeret penderitaan Allahyarham Ustaz Azizan sebagai modal politik BN dalam PRK Sg. Limau ini. Pihak kami amat terguris dan sedih berikutan ucapan yang kami kira telah terkeluar daripada etika politik harmoni yang dilaungkan oleh pihaknya sendiri.

"Untuk itu, kami memohon YAB TPM yang kami hormati, agar memohon maaf segera secara terbuka kepada seluruh keluarga Allahyarham Ustaz Azizan dan ahli  PAS seluruh negara serta rakyat yang telah tersinggung dengan ucapan itu," jelasnya.

Penyerahan memorandum tersebut dibuat selepas Muhyiddin dan rombongannya selesai menunaikan solat asar di Masjid Bukit Choras petang tadi.

Turut hadir menyerahkan memorandum tersebut, Ketua Pemuda PAS Kedah, Ustaz Mohd Nasir Zakaria.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: