30 October 2013

Malaysiakini menang, rayuan k'jaan gagal

25 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -



Mahkamah Rayuan hari ini sebulat suara menolak rayuan Kementerian Dalam Negeri (KDN) terhadap Malaysiakini dalam kes permohonan permit penerbitan yang ditolaknya.


Hakim Alizatul Khair Othman berkata, pihaknya bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini.



"Oleh itu, kami menolak rayuan itu," katanya.



Hakim juga membenarkan kos RM5,000 dibayar kepada Malaysiakini.



Keputusan itu dibuat setelah rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membatalkan arahan KDN untuk tidak mengeluarkan lesen penerbitan kepada penerbit Malaysiakini Mkini Dotcom Sdn Bhd, didengar hari ini.



Peguam kanan persekutuan Norhisham Ismail berkata, beliau akan menunggu arahan sama ada mahu merayu atau tidak terhadap keputusan hari ini.



Manakala peguam Malaysiakini K Shanmuga pula berkata, dengan keputusan itu, portal bebas atas talian itu harus menghantar semula permohonan untuk mendapatkan permit penerbitan akhbar bercetak.



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur (Bahagian Rayuan dan Kuasa-kuasa khas) pada 1 Oktober 2012 membatalkan keputusan KDN kerana ia "tidak wajar dan tidak rasional".



Syarikat itu memohon menerbitkan akhbar harian dinamakan "Malaysiakini" dengan edaran 40,000 naskhah di Lembah Klang untuk dijual dengan harga RM1.

Malaysiakini/-

No comments: