30 Oktober 2013

Presiden namakan benih padi sempena calon PAS

25 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -
Harakahdaily,30 Okt 2013


JERAI: Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini menamakan benih padi yang ditabur untuk musim depan dengan nama Azam.

Menurutnya, pemilihan nama itu sebagai mengambil nama calon PAS, Ustaz Mohd Azam Abd Samat yang bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau kali ini.


"Calon PAS yang bertanding Ustaz Mohd Azam, jadi benih ini saya namakan benih Azam sesuai dengan calon.



"Ia juga sebagai azam kita kepada Allah supaya benih ini subur dan memberi hasil yang banyak musim depan," katanya ketika berucap di majlis Turun Bendang dan Doa Awal Musim Padi di Kampung Kabu Sepuluh di sini hari ini.



Pemberian nama itu adalah permintaan daripada tuan tanah di mana Tuan Guru diminta menabur benih tersebut dalam petak sawah miliknya.



Sebagai gimik pelancaran, Tuan Guru mengenakan pakaian turun ke bendang, iaitu baju lengan panjang, seluar, kain sarung, topi dan kasut but panjang dan turun menabur biji benih padi di petak sawah kira-kira 700 meter dari tempat peigram.



Turut serta dalam acara itu termasuk Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar, merangkap Pesuruhjaya PAS Kedah dan Salahudin Ayub, Adun Anak Bukit Datuk Amiruddin Hamzah dan Naib Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia Dr Raja Iskandar Al-Hiss.



Terdahulu dalam ucapannya juga, Tuan Guru Abdul Hadi mengingatkan masyarakat agar sentiasa berdoa kepada Allah di samping usaha dan ikhtiar yang dibuat supaya padi yang ditanam menjadi dengan baik.



Beliau turut melahirkan rasa kecewa dengan sikap kerajaan yang dilihat tidak bersungguh-sungguh membela nasib petani khususnya penanam padi.



Ia termasuk dalam isu pemberian subsidi bagi meringankan beban pesawah padi dan harga padi yang masih rendah sekitar RM248 satu tan.



"Subsidi bukan keseluruhannya beban kepada kerajaan. Kerajaan kena fikir panjang untuk bekalan makanan negara.



"Seperti negara barat, mereka galakkan pertanian untuk sumber makanan mereka. Apabila berlaku bencana mereka punyai bekalan makanan yang cukup," katanya lagi.



Di samping itu beliau yang juga Ahli Parlimen Marang mahu kerajaan menggunakan kepakaran termasuk menjalankan penyelidikan bagi meningkatkan penghasilan padi.



Beliau juga menggesa kerajaan memanfaatkan sebaiknya tanah-tanah yang masih banyak dalam negara untuk pertanian sebagai memperbanyakkan stok bekalan makanan negara.



"Kerajaan jangan duk fikir nak bagi RM50, RM100 waktu kempen pilihan raya ini sahaja.



"Pesawah di sini mahu pendapatan mereka, hasil padi mereka meningkat. Kerajaan kena bantu dari sudut itu," tegasnya.



Majlis hari ini dibuat mengikut tradisi orang dahulu, dengan mengadakan majlis bacaan doa selamat, dan kemudian menjamu pulut kelapa parut serta ikan masin, sebelum turun ke bendang.

Tiada ulasan: