30 October 2013

PAS minta k'jaan timbang naik subsidi padi


25 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

PAS meminta kerajaan pusat mempertimbang cadangan menaikkan subsidi padi daripada RM248.10 satu tan kepada RM372.10 satu tan bagi meringankan beban serta mengukuhkan ekonomi pesawah.
    
Pesuruhjaya PAS Kedah Datuk Mahfuz Omar berkata kenaikan subsidi itu dijangka melibatkan RM200 juta setahun akan dapat memberi kelegaan kepada kira-kira 144,958 keluarga petani seluruh negara dengan keluasan bendang sekitar 300,000 hektar. 


"Kali terakhir subsidi padi dinaikkan ialah sekitar tahun 1990... dari RM164.40 setan kepada nilai subsidi terkini.
    
"Selepas lebih 23 tahun subsidi harga padi masih belum disemak semula. Jadi dicadangkan dinaikkan sebanyak 50 peratus," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Turun Bendang dan Doa Awal Musim Padi di Pulau Timbun dekat Yan hari ini.
    
Turut hadir Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub, ADUN Anak Bukit Datuk Ir Amiruddin Hamzah dan calon PAS bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Sungai Limau Mohd Azam Abd Samat.
    
Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Limau pada 4 November ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Dr Ahmad Sohaimi Lazim dan calon PAS, Mohd Azam Abd Samat. 


- Bernama

No comments: