21 Oktober 2013

Negara Berkebajikan bantu rakyat miliki tanah

16 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

(Penganjur membuat kejutan kepada Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dengan menghadiahkan sebiji kek sempena ulang tahun kelahiran beliau yang ke 66)

SHAH ALAM: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan Islam menonjolkan konsep negara berkebajikan supaya dapat membantu rakyat antaranya untuk memudahkan proses mendapatkan hak milik tanah. 


Beliau berkata, kerajaan perlu membela nasib rakyat yang tinggal di kawasan setinggan, Orang Asal, orang kampung Cina serta orang India yang masih tinggal di estet.



Berucap di majlis penutup konvensyen Tanah di sini, Tuan Guru berkata golongan itu merupakan sebahagian daripada masyarakat majmuk yang tidak boleh dipinggirkan dan dilupakan. 



Menurut beliau, kerajaan mengikut konsep Islam bukan peniaga, tetapi perlu mengurus dan mengawal dengan adil, setia kepada rakyat dan adil setelah membawa pulangan yang banyak. 



Katanya, kurangnya sumber negara kerana pemimpin yang tidak adil, bukan kerana sebab-sebab yang tidak menambahkan hasil kerana keadilan boleh menambahkan hasil negara. 



Pengurusan yang adil dalam hal tanah contohnya tanah rezab Melayu yang tidak mempunyai wang untuk membuat pembangunan tetapi seringkali dirampas dan didirikan bangunan gergasi. 



Tambah beliau, sepatutnya dalam hal ini kerajaan  boleh mengendalikan dengan memberi kelulusan kepada anak-anak syarikat yang boleh mengambil alih tanah tersebut.



"Kerajaan juga boleh memberi kelulusan melalui zakat dan banyak cara yang boleh mengendalikan masalah tanah. Di ambil dahulu dan kemudian kerajaan boleh memproses semula. Ini boleh difikirkan dan dilaksanakan," tegasnya. 



Begitu juga kata beliau, masyarakat India yang tinggal di estet yang dahulu menjadi hamba penjajah Inggeris dan sepatutnya mereka sudah merdeka dengan cara memberi pemilikan tanah. 



Menurut beliau, PAS menyedari bahawa dalam pemerintahan negara yang dikuasai politik BN adakalanya tidak ada penyelerasaan dalam peraturan pemberian hak milik tanah.



"Masalah pentadbiran contoh pengalaman saya masa memerintah Terengganu. Saya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kanan kerajaan negeri susah hendak mendapat tanah. Satu permohonan tanah kena melalui 70 meja. 



"Permohonan itu dibawa kepada Jabatan Perancang, SUK, Perancang Ekonomi, Menteri Besar dan balik semula kepada SUK dan exco. Terpaksa melalui 70 meja. Jika satu meja 10 hari bermakna 70 hari, jadi berapa bulan hendak selasai tanah untuk seorang," tegasnya. 



Tegas beliau, itu masalah pentadbiran kerajaan negeri begitu juga badan kehakiman yang ada kalanya terdapat campurtangan tangan-tangan politik sekiranya ada melibatkan tanah. 



Beliau menegaskan, PAS tidak boleh menyelesaikan masalah tanah selagi tidak boleh membuat perubahan menyeluruh dalam negara. 

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: