21 Oktober 2013

Teras saran naikkan cukai rokok dan arak


16 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Teras Pengupayaan Melayu (Teras) bertegas supaya cukai eksais arak dan rokok dinaikkan sehingga ke tahap mengekang tabiat menagih arak dan rokok yang semakin tinggi di negara ini.
Menurut Presidennya,  Mohd Azmi Abdul Hamid (gambar), kerajaan tidak mengenakan kenaikan cukai eksais kepada rokok  sejak 2010 dan arak sejak 2005 sehingga usaha mencegah tabiat negatif berkait kedua-dua komoditi ini tidak berkesan.
"Demikian juga cukai eksais arak hanya dinaikkan pada 2005 yang telah menaikkan harga arak sebanyak  23.3 %  kepada RM7.40 seliter," ujarnya.


Menurut Azmi, rakyat Malaysia berbelanja USD500 juta setahun untuk arak menjadikannya antara 10 negara tertinggi di dunia yang minum arak dengan kadar 7 liter per kapita. 

"Kini sepertiga mereka yang minum arak di Malaysia adalah mereka yang ketagih arak," kesal beliau.

Menurutnya, ketika cukai eksais rokok dinaikkan pada 2010 dan harga rokok naik antara 7.5% hingga 9% setiap kotak 20 batang , penjualan rokok telah menguncup hampir 3.5 % .

Malah tambah beliau, kajian di peringkat antarabangsa mengakui bahawa instrumen cukai sangat berkesan untuk mencegah tabiat merokok dan minum arak setidak-tidaknya di kalangan golongan remaja dan kelompok berpendapat rendah.


"Kami berpendapat kerajaan perlu menunjukkan kesungguhan untuk mengguna pendekatan menaikkan harga sebagai salah satu strategi untuk mengatasi tabiat yang bukan sahaja menjejaskan ekonomi rumahtangga malah menimbulkan jenayah sosial yang parah.

"Umum mengetahui bahawa walaupun bagi golongan perokok dan peminum arak tegar sukar untuk menghentikan tabiat buruk tersebut , namun paling tidak dengan mengenakan cukai yang tinggi ia boleh berperanan mengurangkan kemampuan untuk mereka membeli terutama di kalangan golongan muda," jelas beliau.

Azmi menjelaskan, tidak timbul masalah ketagihan arak dan rokok di kalangan orang Islam jika mereka  mempunyai tahap kesedaran agama yang tinggi.

"Islam dari awal meletakkan kaedah antara manfaat dan kemudaratan yang menjadikan sesuatu hukum itu haram atau disebaliknya.

" Akan tetapi oleh kerana masyarakat Islam juga terdedah kepada pengaruh iklan dan kejahilan kepada hukum agama , selain mempunyai keimanan yang lemah ,  maka gejala ini kini berleluasa di kalangan umat Islam," kesal beliau.

Teras tambahnya, menyarankan kerajaan menerima pakai kaedah Islam sebagai asas mengatasi isu ketagihan rokok dan arak kerana kaedah selain Islam hanya boleh menyelesaikan isu arak dan rokok dalam jangka masa pendek. 

"Penyelesain yang jauh lebih berkesan dan mutlak adalah melalui syariat Islam," tambahnya.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: