21 Oktober 2013

Semenanjung Arab bakal muncul tanah paling subur

16 Zulhijjah 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Anda jangan terkejut suatu hari nanti negeri-negeri yang mana muka buminya rendah bakal tenggelam ekoran kecairan bongkah ais di kutuk utara dan selatan sekarang.

Ia bakal mengulangi apa yang pernah berlaku pada zaman air batu, di mana padang pasir gersang di negara-negara Arab ketika zaman tersebut dialiri anak-anak sungai.

Malah Semenanjung Tanah Arab merupakan kawasan paling subur di dunia pada zaman air batu.

Dalilnya dirakam dalam al Quran surah Saba’ di mana penduduk negeri Saba’ hidup dengan kemewahan kerana buminya begitu subur.


Pensyarah Jabatan Matematik UPM, Prof Madya Dr Mat Ropa Ismail berkata, zaman air batu kedua akan kembali semula, prosesnya sedang berlaku sekarang.


“Kutub utara mulai mengalami pencairan air batu sekarang. Kawasan utara Semenanjung Arab juga dikesan mengalami perubahan cuaca di mana kawasan kering mengalami salji beberapa tahun kebelakangan ini.

“Saintis berpendapat bumi Arab akan dipenuhi kembali dengan anak sungai,” katanya ketika membentang kertas kerja pada wacana ilmiah di Al Quran dan Sains di Dewan Teratai hari ini.

Beliau membentang kertas kerja bertajuk “Ayat Al Kauniyyah Dan Keajaiban Alam Kosmos Dan Cakarawala”.

Manakala kertas kerja pertama dibentang Dr Nor Azma Mat Zin dari Pusat Pengajian Sains Perubatan USM bertajuk “Penciptaan Manusia Antara Sains dan Al Quran”.

Wacana tersebut dianjurkan Jabatan Mufti Negeri Kelantan. Perasmian penutup program berkenaan disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama anggota Exco, Datuk Nasuruddin Daud dan Mufti Kelantan, Datuk Mohd Sukri Mohamad.

Dr Mat Ropa berkata, penemuan saintifik mengenai Semenanjung Arab selaras dengan Hadis Nabi Muhammad SAW yang bermaksud “Hari Kiamat tidak akan muncul sebelum bumi Arab sekali lagi menjadi bumi hijau (subur) dan dipenuhi sungai-sungai”.

Beliau juga mendakwa Belanda akan menerima kesan paling cepat dengan kecairan ais di kutuk utara. Begitu juga negara berpulau seperti Singapura juga bakal berdepan situasi serupa.

Katanya juga Tabu’ sekarang menjadi pembekal buah anggur terbaik di Madinah, sedangkan dahulu merupakan kawasan kering kontang.

Malah semenanjung Arab juga berjaya menghasilkan gandum jenis terbaik di dunia.

“Penyelidikan satelit tentang muka bumi Arab menunjukkan kesan tali air dan pengairan wujud di bawah timbunan pasir di Yaman.

“Begitu juga Bandar Iram ditemui tertimbus di bawah timbunan pasir sedalam 16 meter beberapa tahun lepas,” katanya.

Menteri Besar pula berkata, al Quran dan sains tidak boleh dipisahkan, malah kitab itu merupakan mujizat yang diturunkan kepada Rasullah SAW.

Menurutnya juga pelajar sekolah agama di bawah Yayasan Islam Kelantan berpeluang mempelajari lebih banyak penemuan sains dalam al Quran memandangkan mereka sudah mendalami ilmu al Quran.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: