KUALA LUMPUR: Belanjawan Pakatan Rakyat 2014 yang diumumkan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberi fokus kepada tiga teras utama.
Tiga teras tersebut adalah pengukuhan kedudukan fiskal negara dan pemerkasaan kewangan awam, pembangunan ekonomi yang seimbang, inklusif dan mampan serta peningkatan kesejahteraan dan kualiti hidup rakyat.
Menurut Anwar, belanjawan alternatif PR adalah satu usaha untuk memperkenalkan reformasi fiskal yang akan memastikan pencapaian defisit belanjawan pada kadar 3 peratus GDP pada 2015 dan seterusnya mencapai lebihan belanjawan selewatnya pada 2018.
"Reformasi fiskal ini dijangka akan membolehkan Malaysia keluar dari kemelut hutang yang kini melebihi RM500 billion dan kos pembayaran hutang yang melebihi RM20 billion setahun," katanya yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh.
Selain itu katanya, reformasi fiskal ini akan menjamin ekonomi yang berdaya tahan dan anjal dalam menghadapi persekitaran ekonomi global yang semakin mencabar dan tidak menentu.
"Reformasi fiskal juga membolehkan Malaysia beralih daripada pertumbuhan ekonomi yang berasaskan pinjaman kepada pertumbuhan ekonomi yang dijanakan oleh aktiviti perbelanjaan kerajaan," katanya lagi.
Beliau juga berkata, sejak Pakatan menyediakan belanjawan alternatif, anggaran defisit Pakatan adalah selalunya lebih rendah daripada BN.
"Defisit sebenar kerajaan BN adalah dianggarkan lebih tinggi daripada 3.2 peratus (dianggarkan 3.8 peratus hingga 4 peratus) disebabkan kegagalan mereka manangani rsuah dan ketirisan," katanya.
Turut bersama pada sidang media ialah Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Kamarudin Jaafar (Tumpat), Penasihat DAP, Lim Kit Siang (Gelang Patah) dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng (Bagan).
Harakahdaily/-
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan