09 November 2013

Persatuan Peguam Syarie Sokong Pinda Hukuman Maksimum Syariah

5 Muharram 1435H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) telah lama menunggu agar pindaan dibuat bagi meningkatkan hukuman di bawah undang-undang syariah dan tidak tertakluk dengan hukuman '356' pada masa kini.
Menurut Presiden PGSM, Musa Awang, hampir 30 tahun Mahkamah Syariah terikat dengan batasan hukuman '356' iaitu maksimum tiga tahun penjara, denda RM5,000 dan enam kali sebatan atau '653' yang dibataskan oleh Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) 1984.

"Pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom mengenai Jabatan Peguam Negara (JPN) telah memberi kebenaran (untuk meminda undang-undang syariah itu) merupakan pengumuman yang ditunggu-tunggu oleh peguam syarie, pendakwa syarie, pegawai penguat kuasa agama dan masyarakat Islam," katanya dalam kenyataan di sini, Jumaat.
Menurutnya peningkatan bidang kuasa jenayah Mahkamah Syariah ini selari dengan kedudukan Mahkamah Syariah, setaraf dengan Mahkamah Sivil selepas pindaan perkara 121 (1A) Perlembagaan Persekutuan.
"Saya mencadangkan agar hukuman baharu yang dikenakan mestilah berbentuk hukuman yang boleh menggerunkan pesalah berbanding hukuman sedia ada hari ini yang terlalu ringan dan dipandang ringan oleh pesalah," katanya. Musa juga mencadangkan supaya diadakan suatu hukuman yang tidak terbatas tetapi tidak melibatkan hukuman mati.
“Dengan peningkatan hukuman ini, bukan sahaja melibatkan kesalahan jenayah syariah tetapi turut melibatkan kesalahan kekeluargaan seperti lafaz cerai luar mahkamah dan poligami tanpa kebenaran mahkamah yang secara tidak langsung menyelesaikan masalah kekeluargaan yang dialami masyarakat Islam," katanya.
Jamil Khir pada Khamis melaporkan JPN telah memberi kebenaran bagi hukuman maksimum '356' undang-undang syariah sedia ada dipinda untuk hukuman lebih berat selepas merasmikan Konvensyen Pendakwah Negara 2013 di sini. - BERNAMA

No comments: