09 November 2013

Saingan sengit isi kerusi Timbalan, Naib Presiden


Pemilihan PAS: Mat Sabu dicabar Nik Amar5 Muharram 1435H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Muktamar Tahunan PAS ke-59 akan menyaksikan pemilihan untuk jawatan tertinggi di peringkat pusat dan dewan-dewan bagi penggal 2013-2015, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan, Asmuni Awi.

Bagi jawatan Timbalan Presiden, menyaksikan pertandingan dua penjuru antara calon bertahan, Mohamad Sabu yang akan dicabar Datuk Ustaz Mohd Amar Nik Abdullah yang juga Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan.

Sementara itu, kerusi Naib Presiden pula menggamit pertandingan lima penjuru. Tiga yang mempertahankan jawatan masing-masing iaitu Datuk Husam Musa, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub akan berdepan dengan Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan AJK PAS Pusat, Datuk Ustaz Abu Bakar Chik. 

Seramai 61 orang akan bertanding untuk kerusi AJK PAS Pusat.

Bagi jawatan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat pula, tiga pencalonan disahkan iaitu Suhaizan Kaiat, Kamarulzaman Mohamad dan Zulhazmi Sharif. Ia ekoran ketua pemuda sekarang, Ustaz Nasrudin Hassan mengundur diri daripada jawatan itu.

Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi dan Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob pula bertanding bagi mengisi kerusi timbalan ketua yang dikosongkan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Kerusi Naib Ketua Pemuda juga menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ir Mohd Khairul Nizam Khairuddin. Ia dikosongkan oleh Dr Raja Ahmad Iskandar yang bertanding timbalan ketua. 

Seramai 26 orang akan bertanding untuk mengisi kerusi AJK Dewan Pemuda.

Bagi Dewan Muslimat PAS, jawatan Pengerusi Tetap menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Norhashimah Deraman, Nor Azlin Md Samsudin dan Saadiah Abu Bakar manakala jawatan Timbalan Pengerusi Tetap akan diputuskan di dalam muktamar. 

Ketua Dewan Muslimat pula memperlihatkan pertandingan antara Ustazah Nuridah Salleh dan penyandang, Siti Zailah Mohd Yusof. 

Sementara jawatan Timbalan Ketua Muslimat yang kini disandang Dr Siti Mariah Mahmud akan dicabar oleh Dr Najihatussalehah Ahmad. 

Calon bertahan bagi kerusi Naib Ketua, Mumtaz Mohd Nawi pula akan dicabar oleh Dr Rosni Adam manakala 23 calon bertanding untuk mengisi AJK Dewan Muslimat. 

Tiga jawatan utama Dewan Ulama PAS Pusat telah dimenangi tanpa bertanding. Mereka ialah Ketua, Datuk Ustaz Harun Taib, Timbalan Ketua, Datuk Ustaz Ahmad Yakob dan Naib Ketua, Datuk Dr Mahfodz Mohamad.  

Ustaz Hamdan Mohamad dipilih sebagai Pengerusi Tetap manakala pelantikan Timbalan Pengerusi Tetap akan diputuskan dalam muktamar.

Hampir 1,300 perwakilan dari seluruh negara akan menyertai muktamar ini yang akan diadakan di Shah Alam bermula 20 November ini.

No comments: