09 November 2013

Suhaizan - dinamik, inklusif, peduli


5 Muharram 1435H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Membawa motto 'Dinamik, Inklusif, Peduli', calon Ketua Pemuda PAS Pusat, Suhaizan Kayat berikrar akan menterjemahkannya dalam lima agenda utama yang dibawa bersama.

Ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini, Suhaizan berkata kelima-lima agenda yang dibawa beliau itu terangkum dalam motto yang digunakan, di mana dinamik itu dari sudut tarbiyah, inklusif dari sudut dakwah dan peduli dari sudut rakyat.

Jelas beliau, lima agenda utama yang akan dibawa itu ialah mendepani isu-isu masyarakat dengan lebih berkesan, perlu dilihat inklusif bukan eksklusif, menjadi 'check and balance' kepada parti, memposisikan pemimpin muda yang berbakat dan memperkukuh agenda tarbiyah untuk menyatukan pemuda PAS.

Mengulas lanjut, Suhaizan berkata beliau akan membawa Pemuda PAS ke hadapan dalam mendepani isu-isu masyarakat dengan lebih berkesan agar ia benar-benar menepati sasaran dan matlamat yang diperjuangkan.

"Bukanlah Pemuda hari ini tidak ke hadapan dalam mendepani isu rakyat, cuma masih banyak isu rakyat yang masih tidak benar-benar memberi kesan mendalam. Jadi, saya berikrar untuk membawa badan ini ke arah tujuan tersebut," jelas beliau.

Dalam pada itu, Suhaizan berkata Pemuda PAS hari ini dilihat lebih eksklusif apabila anak-anak muda di luar PAS begitu sukar mendekatkan diri mereka dengan Pemuda.

Katanya, berdasarkan semakan yang dilakukannya, kebanyakan anak muda melihat Pemuda PAS lebih banyak memperuntukkan program berbentuk dalaman, dalam masa sama tidak mendekati golongan ini.

"Justeru, Pemuda PAS perlu menjadi lebih inklusif, di mana ia lebih terbuka dan bersifat mesra beliau bagi memahami kemahuan dan keinginan anak muda tanpa meminggirkan syariat Allah," tegas Suhaizan.

Sementara itu, Suhaizan menambah beliau turut berhasrat membawa Pemuda PAS agar berperanan sebagai 'check and balance' kepada parti, bersesuaian dengan mana-mana sayap pemuda bagi parti apa sekalipun.

Beliau turut berikrar untuk memposisikan anak-anak muda dalam PAS yang berbakat ke dalam PAS yang dilihat lebih selesa bergerak bersama-sama dengan badan bukan kerajaan (NGO).

"Hakikatnya Pemuda PAS memiliki ramai anak-anak muda yang berbakat, bagaimanapun mereka tidak selesa bergerak dengan parti tapi memilih bersama NGO. Jadi jika saya memimpin badan ini, saya akan memposisikan mereka bagi memastikan Pemuda PAS semakin baik," jelas beliau.

Tanpa meninggalkan perkara penting, Suhaizan berkata beliau akan memastikan tarbiyah yang diterapkan dalam Pemuda PAS boleh menyatukan anak-anak muda PAS, yang dilihatnya sekarang masih terdapat ruang-ruang kosong bagi tujuan tersebut.

"Jika diperhalusi lima agenda ini, ia terangkum dalam motto yang saya perkenalkan ini.  Tujuan saya untuk meneruskan apa yang baik yang dilakukan Ketua Pemuda, Ustaz Nasruddin Hassan, dan menambahbaik mana-mana yang masih ada kekurangan," tegas beliau.

Ditanya tentang peluang untuk memenangi jawatan itu, Suhaizan berkata ia dilihat agak seimbang, dan semua calon yang bersaing bagi jawatan itu telah bersama-sama dalam Pemuda PAS sekian lama dan menyifatkan penyertaan dalam pertandingan ini adalah atas prinsip berlumba-lumba untuk melakukan kebaikan.

Pada pemilihan kali ini, selain Suhaizan, dua lagi calon adalah Ketua Pemuda PAS Wilayah Persekutuan, Kamarulzaman Mohamad dan peguam yang terkenal dengan Kempen Anti Saman Ekor (Kase) dan AES, Zulhazmi Sharif.

Ia ekoran ketua pemuda sekarang, Ustaz Nasrudin Hassan mengundur diri daripada jawatan itu.

Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi dan Dr Raja Ahmad Iskandar Raja Yaakob pula bertanding bagi mengisi kerusi timbalan ketua yang dikosongkan oleh Ustaz Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Kerusi Naib Ketua Pemuda juga menyaksikan pertandingan dua penjuru antara Pengarah Juham, Ahmad Zamri Asa'ad Khuzaimi dan Ir Mohd Khairul Nizam Khairuddin. Ia dikosongkan oleh Dr Raja Ahmad Iskandar yang bertanding timbalan ketua. 

Seramai 26 orang akan bertanding untuk mengisi kerusi AJK Dewan Pemuda


No comments: