19 Disember 2013

6 juta dijangka tunai umrah

15 Safar 1435H. [MOD] -
Jeddah: Kerajaan Arab Saudi menjangka enam juta jemaah asing daripada 70 negara akan menunaikan ibadat di tanah suci bagi musim baru dan angka yang sama bagi jemaah tempatan. 


Selain itu, pihak berkuasa juga sudah mengeluarkan 211,000 visa umrah dan 12,000 jemaah sudah tiba di negara ini, kata Menteri Haji, Bandar Hajjar, di sini kelmarin. Perkenal sistem elektronik kesan jemaah .





Katanya, pihak kementerian juga memperkenalkan sistem elektronik baru bertujuan mengesan pergerakan jemaah sekali gus memastikan khidmat lebih baik. 

Sistem itu akan membantu pegawai mengetahui berapa ramai jemaah tiba setiap hari supaya dapat memberi khidmat sewajarnya, kata Hajjar. 

Pada masa sama, sistem berkenaan juga akan membolehkan khidmat diberi kepada jemaah sehingga meninggalkan Arab Saudi, kata Ketua Pengarah kementerian itu, Abdullah Marghalani. 
Sistem berkenaan ada akses kepada maklumat perjalanan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (GACA) dan Pihak berkuasa Pelabuhan Jeddah membolehkan pegawai mengatur jadual pengangkutan dan penginapan. 

Selain pengangkutan, sistem itu juga menyediakan khidmat pesanan segera ke telefon bimbit pemandu memaklumkan jemaah sudah tiba. 

Jemaah yang memiliki telefon bimbit juga diberi kemudahan itu dengan pemandu diarah memastikan kenderaan mereka bersih serta ada pendingin hawa. 

Pantau syarikat umrah 

Marghalani berkata, kementeriannya juga memantau syarikat umrah untuk memastikan mereka benar-benar menyediakan khidmat mengikut pakej dijanjikan. 
Syarikat umrah juga perlu menghantar wakil ke tempat penginapan jemaah enam jam sebelum mereka tiba. 

Katanya lagi, semua pegawai kementerian diberi komputer tablet untuk memuat naik data jemaah pada semua peringkat. 

Seramai 5,000 kakitangan kementerian, 20 agensi kerajaan dan badan persendirian bekerjasama membantu jemaah. 

Marghalani berkata, semua petugas dinasihatkan menunjukkan sikap melayan jemaah dengan sopan apabila mereka tiba di sini. 

Pegawai juga mengedarkan risalah mengenai maklumat penting dan gelang bagi setiap jemaah. 

Katanya lagi, jemaah hanya dibenarkan membawa air Zamzam di tempat disediakan apabila mahu pulang dan jenama lain tidak dibenarkan dibawa. 



AGENSI

Tiada ulasan: