19 December 2013

Awas dendam musuh tradisi

15 Safar 1435H. [MOD] -
SKUAD Harimau Muda A diingatkan supaya jangan mengambil mudah musuh tradisi Indonesia pada perlawanan separuh akhir pada temasya Sukan SEA ke-27 di sini esok.
Jurulatihnya Datuk Ong Kim Swee berkata, mereka tidak boleh memandang remeh pasukan Indonesia walaupun pernah meranapkan impian mereka untuk menjadi juara ketika menjadi tuan rumah pada edisi 2011.

Beliau berkata Indonesia dilihat mempunyai motivasi tinggi selepas mengecewakan tuan rumah Myanmar 1-0 pada perlawanan terakhir kumpulan B, Isnin lepas.

Selain itu, Kim Swee percaya Indonesia akan turun dengan misi untuk membalas dendam bagi menebus kekalahan pada final 2011.
"Sudah pasti mereka (Indonesia) lebih berkeyakinan selepas menyingkirkan Myanmar serta mahu menebus kekecewaan terlepas pingat emas dua tahun lepas," katanya di sini hari ini.

Beliau berkata semua pemain perlu memeras keringat serta fokus sepenuhnya hingga ke wisel penamat bagi memastikan tempat ke pentas akhir sebelum memikirkan lawan pada penentuan pingat emas nanti.

Mengenai barisan kesebelasan esok, Kim Swee berkata beliau tidak akan mengambil risiko untuk menguji pemain malah akan mengekalkan sebahagian besar pemain yang sedia ada.

Katanya beliau mempunyai pemain gantian bagi memikul tugas pemain pertahanan K Ruben yang tidak dapat beraksi satu perlawanan kerana mengutip dua kad kuning sebelum ini.

Ruben mendapat kad kuning pertama semasa menentang Singapura, Ahad lepas dan kad kedua ketika menentang Vietnam semalam.

Pada satu lagi perlawanan separuh akhir esok, Thailand akan menentang Singapura. 

- BERNAMA

No comments: