19 December 2013

30,988 calon catat gred A dalam peperiksaan PMR 2013

15 Safar 1435H. [MOD] -
PUTRAJAYA: Sebanyak 30,988 atau 7.33 peratus daripada lebih 462,940 calon Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 memperoleh gred A dalam semua mata pelajaran, berdasarkan keputusan yang diumumkan Khamis.


Ketua Pengarah Pelajaran Datuk Dr Khair Mohamad Yusof berkata keputusan itu lebih baik berbanding 30,474 orang pada 2012 iaitu meningkat 0.41 peratus atau 514 calon.

Beliau berkata prestasi bagi mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik, Sains dan Pendidikan Islam menunjukkan peningkatan dari segi Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

"Bagaimanapun, GPMP bagi mata pelajaran Bahasa Melayu menunjukkan sedikit penurunan 0.03 mata kepada 2.35 mata pada 2013 berbanding 2.32 tahun lepas," katanya pada sidang media bagi mengumumkan keputusan PMR 2013 di sini hari ini.

Khair berkata penurunan prestasi subjek Bahasa Melayu adalah kecil dan menunjukkan perubahan yang tidak signifikan.

Menurut Khair, jumlah calon yang mendapat gred E dalam semua mata pelajaran meningkat kepada 307 calon (0.07 peratus) tahun ini daripada 241 calon (0.05 peratus) tahun 2012.

Keputusan itu turut menunjukkan pencapaian calon bandar dan luar bandar hampir setara dengan gred purata masing-masing 2.56 dan 2.81.

Bagi calon berkeperluan khas pula, ia mencatatkan penurunan sebanyak tiga calon apabila sebanyak 11 calon mendapat gred A dalam semua mata pelajaran daripada 2,300 pelajar yang menduduki peperiksaan berkenaan berbanding 14 calon mencatatkan gred A pada 2012, katanya.

"Bilangan calon berkeperluan khas yang tidak melepasi tahap penguasaan minimum dalam semua mata pelajaran meningkat daripada 22 calon (1.27 peratus) pada 2012 kepada 49 calon (2.13 peratus) bagi tahun 2013, jumlah peningkatan sebanyak 27 calon (0.86 peratus).

Dalam pada itu, Khair berkata mulai tahun depan (2014), peperiksaan PMR bukan dalam bentuk peperiksaan tetapi dalam bentuk penaksiran membabitkan pentaksiran physcometric, sukan, kokurikulum dan beberapa perkara lain.

Kaedah pentaksiran itu merupakan tindakan penambahbaikan dalam sistem pelajaran negara oleh kementerian, katanya.

Di KUALA LUMPUR, 1,683 daripada 19,440 calon mendapat keputusan A dalam semua mata pelajaran yang diambil, kata Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Abdullah Mad Yunus.

Katanya GPMP bagi 10 daripada 14 subjek yang ditawarkan di WPKL juga mengatasai gred purata di peringkat nasional.

Empat sekolah mencatatkan kelulusan 100 peratus iaitu Sekolah Menengah Sains Selangor, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Kuala Lumpur, Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki dan Sekolah Menengah Agama Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.

Dua calon berkeperluan khas turut mendapat keputusan cemerlang Gred A dalam semua mata pelajaran yang diduduki iaitu daripada kategori buta dan seorang dari kategori rabun.

Di ALOR SETAR, jumlah calon yang mendapat A bagi semua mata pelajaran di Kedah meningkat kepada 6.8 peratus, peningkatan sebanyak 0.14 peratus berbanding pencapaian tahun 2012 iaitu 5.94 peratus. 

Bernama

No comments: