19 Disember 2013

BN tidak sensitif penderitaan rakyat

15 Safar 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar pengguna jalan raya disarankan menggunakan jalan biasa bagi menggelak membayar tol membuktikan kerajaan BN langsung tidak sensitif dengan penderitaan rakyat. 


Menurut Ketua Dewan Muslimat PAS, Siti Zailah Mohd Yusof apa yang diperjuangkan oleh kerajaan BN hanya untuk kepentingan dan keuntungan poket sendiri dan kroni mereka. 

Katanya, kenyataan itu jelas tidak bertanggungjawab dan sebagai kerajaan seharusnya mereka memikirkan dan menyelami kemampuan rakyat dengan kos sara hidup yang tinggi dengan harga barangan bertambah mahal. 

Beliau menegaskan kerajaan seharusnya memikirkan pendapatan rakyat masih ramai yang berada di bawah garis kemiskinan ditambah dengan isu pengangguran yang belum dapat diselesaikan oleh kerajaan BN.

"Kerajaan seharusnya melihat beban yang ditanggung oleh rakyat begitu besar terutama mereka yang berpendapatan rendah," katanya. 

Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang berharap kerajaan BN dapat menilai semula kenaikan harga tol memandangkan ramai warga kota yang mengeluh dengan pengumuman kenaikan tol. 

"Bayangkan sehari berbelas ringgit dihabiskan untuk pergi kerja membayar tol. Itu tidak termasuk duit minyak serta anak dan isteri yang menggunakan jalan yang sama dengan kereta berlainan," tegasnya.

Menurut beliau, seharusnya Perdana Menteri dan Menteri Kabinet menjadikan negara Thailand sebagai contoh yang mempunyai jalan yang baik tetapi tol tidak banyak. 

Begitu juga tambah beliau di United Kingdom mempunyai jalan yang baik tetapi sukar untuk mencari tol manakala di Malaysia pula mempunyai 23 buah syarikat konsesi tol. 

Sehubungan itu beliau mengingatkan seluruh rakyat bahawa sudah tiba masanya mereka menggunakan kuasa untuk menjatuhkan kerajaan BN yang kejam dan tidak berperikemanusiaan membela nasib rakyat. 

"Kita mesti menolak sistem dasar yang membebankan rakyat. Slogan BN rakyat didahulukan perkhidmatan diutamakan itu sebenarnya rakyat didahulukan untuk terus memikul beban," katanya. 

Beliau kesal dengan sikap dan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak menepati janji kerana dalam pembentangan Bajet 2014 beliau berjanji tidak akan ada kenaikan tol. 

Malangnya kata beliau kenyataan Najib itu hanya setakat janji-janji kosong untuk mendapatkan sokongan undi pada pilihan raya.


Harakahdaily

Tiada ulasan: