KUALA LUMPUR: Tuduhan dilemparkan Presiden Persatuan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof. Datuk Dr. Kamaruddin Kachar (gambar) kononnya Kelantan mundur 40 tahun membuktikan beliau tidak pernah menjejakkan kaki serta mengenali negeri itu secara dekat.
Jelas Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr. Mohd Hatta Ramli kepada Harakahdaily, kenyataan Kamaruddin itu turut menunjukkan beliau tidak mendapat maklumat serta statistik yang lengkap mengenai kejayaan Kelantan berbanding negeri-negeri lain.
Menurutnya lagi, Kamaruddin perlu melawat Sabah dan Sarawak terlebih dahulu sebelum membuat sebarang kenyataan yang tidak berasas.
"Saya tidak tahu dari mana beliau mendapat maklumat tersebut dan bagi saya kenyataan sedemikain menunjukkan beliau tidak pernah menjejak kaki ke Kelantan atau mengenali negeri itu.
"Nasihat saya cuba melawat Sabah dan Sarawak, lihat negeri yang berada di bawah BN dari segi kemajuan lepas itu baru boleh bandingkan dengan Kelantan.
"Baru kita tahu negeri mana yang lebih mundur, jangan menuduh tanpa bukti serta fakta yang kukuh," jelasnya.
Dr Hatta menambah, Kelantan selama ini telah melahirkan pelajar yang mempunyai pendidikan terbaik serta golongan profesional serta usahawan yang berjaya.
Malah turut menjadi tumpuan kepada mereka yang ingin mendalami pendidikan Islam sehinggakan dapat menghantar lebih ramai pelajar ke luar negara dalam bidang pendidikan Islam.
"Selama ini kita melihat Kelantan telah melahirkan ramai pelajar yang terbaik dalam segala bidang termasuk pendidikan agama dan mampu melahirkan ilmuwan dalam pendidikan Islam.
"Malah ramai golongan profesional dan korporat yang juga berasal dari negeri ini termasuk mereka yang memegang jawatan tinggi di sektor awam.
"Bukti ini jelas menunjukkan Kelantan bukan sebuah negeri yang mundur jika dibandingkan negeri lain, malah lebih maju lagi. Kalau mundur mana mungkin kita dapat melahirkan individu yang hebat," sambungnya.
Beliau yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat meminta Kamaruddin lebih berhati-hati dalam percakapannya dan jika ingin membuat perbandingan dari segi fizikal perlu membandingkan Sabah dan Sarawak yang sejak dahulu di bawah pentadbiran BN.
Katanya lagi, Kamaruddin tidak perlu bercakap seperti ‘tong kosong’ hanya semata-mata ingin mendapat tempat dalam BN.
Harakahdaily
Tiada ulasan:
Catat Ulasan