04 December 2013

Aras sungai di Johor meningkat, amaran berwaspada

30 Muharram 1435H. [MOD] -
JOHOR BAHARU:  Penduduk yang tinggal berdekatan sungai atau kawasan banjir di Johor diminta berjaga-jaga berikutan aras air sungai yang kian meningkat.

               
Laman Facebook PublicInfoBanjir milik Jabatan Pengairan dan Saliran menyatakan beberapa stesen pemantauan aras sungai menunjukkan aras air sungai sudah melebihi paras amaran pada 6 petang semalam.

               
Stesen berkenaan ialah stesen Sungai Batu Pahat, Empangan Machap, Ladang Chaah, Simpang Renggam dan Sungai Mengkibol.        
               
Portal Majlis Keselamatan Negara pula menyatakan 5,552 mangsa daripada 1,586 keluarga dari enam daerah di negeri ini ditempatkan di 47 pusat penempatan banjir di kawasan masing-masing.
               
Ia membabitkan daerah Mersing, Segamat, Kota Tinggi, Kluang dan terbaharu Muar dan Batu Pahat.

Mersing masih menjadi daerah paling teruk terjejas apabila 4,308 mangsa dipindahkan ke 19 pusat penempatan banjir di daerah itu dan diikuti Segamat dengan 1,110 mangsa ditempatkan di 21 pusat penempatan banjir.
               
Sebanyak 106 mangsa di Kota Tinggi ditempatkan di tiga pusat penempatan banjir manakala 114 mangsa di Kluang ditempatkan di dua pusat penempatan.
               
Di daerah Muar, 87 mangsa banjir di Felda Moakil ditempatkan di pusat penempatan kawasan berkenaan manakala 13 mangsa banjir Kampung Haji Kamisan, Batu Pahat dipindahkan ke balai raya kampung itu.
               
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Mersing DSP Zulkifli Hashim berkata dua laluan di daerah Mersing ditutup kepada semua kenderaan ringan berikutan ditenggelami air selepas hujan lebat berterusan sejak kelmarin.
               
Laluan yang terlibat Km7 Jalan Nitar-Kluang dan Jalan Kota Tinggi-Mersing berdekatan Kampung Sungai Ara.
               
"Orang ramai yang ingin ke Mersing, Kluang atau Kota Tinggi dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif iaitu Jalan Jemaluang-Kluang dan Jalan Tenggaroh-Tanjung Sedili-Kota Tinggi," katanya.
               

Sebahagian daripada laluan di Km16 Jalan Kota Tinggi-Mersing berdekatan Institut Latihan Perindustrian ditutup bagi kerja-kerja penyelenggaraan jalan susulan kejadian tanah runtuh


- Bernama

No comments: