04 December 2013

Banjir di Johor belum jejaskan calon SPM

30 Muharram 1435H. [MOD] -
JOHOR BAHRU: Banjir yang melanda enam daerah di Johor belum menjejaskan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) setakat ini, kata Pengarah Pelajaran Johor Mohd Nor A Ghani. 


Beliau berkata terdapat 382 pusat peperiksaan di seluruh negeri dan pihaknya menerusi jawatankuasa banjir sentiasa memantau perkembangan sepanjang peperiksaan berjalan. 


"Tiada calon yang terjejas kecuali beberapa pengawas peperiksaan di Mersing, yang menghadapi kesulitan untuk ke pusat peperiksaan, petang ini akibat jalan yang terputus hubungan," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini. 


Sehubungan itu, katanya pengawas peperiksaan tersebut akan dihantar pasukan tentera untuk ke SMK Nitar memandangkan laluan ke sekolah berkenaan hanya boleh dilalui kenderaan berat. 

Katanya, terdapat seramai 57,090 calon SPM di negeri ini dengan sebahagian daripada mereka masih menduduki peperiksaan sehingga Jumaat ini. 

"Pelajar diminta menghubungi sekolah masing-masing sekiranya mengalami masalah untuk ke pusat peperiksaan," katanya. 

Sementara itu, Pengarah Perbadanan Taman Negara Johor Suhairi Hashim berkata 67 penduduk Orang Asli Kampung Peta dan tujuh petugas Taman Negara Endau-Rompin ditempatkan di Kompleks Pelawat taman berkenaan setelah kawasan itu dinaiki air. 
"Taman Negara Endau-Rompin kini hanya boleh dimasuki menggunakan laluan sungai dan pasukan tentera bersama pegawai perubatan serta jururawat sudah dihantar ke kompleks terbabit hari ini untuk merawat penduduk," katanya. 

Katanya taman negara berkenaan ditutup kepada pengunjung sejak 1 November lalu, ekoran musim tengkujuh. 


- BERNAMA

No comments: