04 December 2013

PAS gesa Malaysia iktiraf Hamas untuk bebas Palestin

30 Muharram 1435H. [MOD] -
KUALA LUMPUR: Kerajaan Malaysia digesa agar mengiktiraf pergerakan sah Ḥarakat al-Muqawamah al-Islamiyyah (Hamas) di Palestin bagi membolehkan usaha membebaskan negara tersebut dapat dilakukan dengan lebih berkesan.


Malah, Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar turut meminta kerajaan berpendirian secara rasmi bahawa Hamas bukan sebuah pergerakan pengganas seperti yang dimomokkan negara barat.Ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini, Kamarudin berkata pendirian penting dari kerajaan bagi mengiktiraf Hamas perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia mampu berperanan melalui Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC).

Tegas Kamarudin, peranan OIC dalam menangani konflik di Palestin perlu lebih aktif dengan Malaysia mampu berperanan bagi mempengaruhi negara-negara Islam lain yang menganggotai OIC.

"Biarpun OIC begitu aktif dalam usaha memperkasakan rakyat dan negara anggota, namun kita sedar negara-negara Islam yang besar seperti Arab Saudi nampaknya tumpuan mereka hanya memastikan Iran semakin lemah, dan konflik kudeta di Mesir terus kekal.

"Oleh itu, peranan Malaysia amat penting dalam pengiktirafan Hamas dan pemimpinnya, Khaleed Meshal serta menumpukan usaha mengimbangi peranan OIC," kata beliau.

Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Luar Negara, Datuk Hamzah Zainuddin menjelaskan umum mengetahui konflik yang berlaku di Palestin itu berbeza dengan konflik di negara lain.

Katanya, dunia telah menerima bahawa gerakan Hamas menguruskan sebahagian negara tersebut, sebagaimana Fatah juga berbuat demikian.

"Maka, Malaysia tidak melihat pergerakan Hamas itu sebagai sebuah gerakan 'terrorist', malah tindakan kerajaan menjemput wakil Hamas ke negara ini untuk sama-sama berkongsi pengalaman agar dapat menguruskan Palestin dengan lebih baik," kata beliau.

Malah, tambah beliau Malaysia turut mencadangkan agar Hamas dan Fatah untuk bergabung dalam usaha memastikan kemajuan Palestin.


Harakahdaily

No comments: